Dua dekad jadi mangsa penderaan rumahtangga

20 tahun jadi mangsa dera suami
Sebelum berkahwin semuanya indah saja, namun tidak sampai setahun usia perkahwinan, si suami mula menunjukkan sikap sebenar.

Tatkala si isteri sedang mengandung anak sulung semuanya terbongkar. Malah, lebih teruk apabila si suami mula berani menggunakan kekerasan untuk memukul isteri jika ada perkara yang tidak disukai dilakukan wanita malang ini.

Pada wajah si isteri, Rita (bukan nama sebenar), 52, masih tergambar keperitan dilalui sepanjang lebih 20 tahun mendirikan rumah tangga bersama lelaki yang tidak bertanggungjawab itu.

Walaupun tidak lagi mampu menitiskan air mata, demi enam anaknya dia gagahkan diri dan sabar menempuh penderitaan sepanjang perkahwinan.

"Kami berkahwin tanpa menjalin sebarang hubungan sebagai kekasih. Keluarga memang mengenali suami apatah lagi dia saudara kami.

"Kami berkenalan tidak lama. Selepas setahun bertemu, suami melamar walaupun saya sudah memberitahu padanya yang saya tiada perasaan cinta.

"Mungkin sudah jodoh dan kami akhirnya disatukan ketika saya berusia 19 tahun. Pada awal perkahwinan semuanya biasa saja sama seperti pasangan pengantin baru lain yang bahagia," katanya.

Bercerita lanjut mengenai suami dan kehidupannya, Rita yang menjadi suri rumah akui mereka hidup dalam keadaan serba sempurna. Masalah kewangan tidak pernah dirasai pasangan ini.

Suaminya berpangkat tinggi dan boleh dianggap berduit. Tidak dinafikan suaminya seorang yang berjaya dalam karier.

Namun perangai panas baran, suka memukul dan cemburu buta mula ditunjukkan apabila Rita mengandung anak sulung. Setiap perkara dilakukan semua dianggap salah dan tidak disukai.

Apabila diluahkan kepada suami, Rita dihambur kata-kata makian malah dipukul dengan lebih teruk.

Selepas itu, bermula episod menyedihkan dalam hidup Rita. Setiap hari ada saja perkara yang dilakukannya dianggap satu kesalahan besar bagi suaminya.

Apabila mengandung anak kedua, sikap panas baran suami semakin menjadi-jadi. Akibatnya, Rita pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali dan berlaku pendarahan tatkala perutnya memboyot anak ketiga kerana kerap ditendang.

"Saya tidak tahu akhirnya akan jadi begini. Suami semakin berani memukul saya dengan lebih teruk walaupun saya tidak membuat sebarang kesalahan.

"Setiap hari jika tidak mengherdik, dia memukul saya. Setiap hari juga saya hidup dalam ketakutan apatah lagi jika hanya kami berdua saja di rumah.

"Saya tidak boleh keluar rumah sesuka hati dan rapat dengan rakan. Malah, jika saya rapat dengan ahli keluarga sendiri pun suami tidak menyukainya," katanya.

Bertambah menyedihkan apabila suami Rita langsung tidak memberi peluang padanya untuk membela dan menjelaskan perkara sebenar.

Sampai ke satu tahap, dia berasa takut dan badan menggigil saat kaki melangkah masuk pintu pagar rumah disebabkan fobia dipukul dan dimaki suami.

Malah, Rita akui badannya juga berasa kebal setiap kali dipukul kerana sudah biasa apatah lagi semua bentuk penderaan sudah dilaluinya sama ada fizikal mahupun mental.

"Suami pernah menghukum saya dengan membiarkan saya kesejukan dan kepanasan di luar rumah dan tidak membenarkan saya masuk selain pintu dikunci.

"Saya juga pernah dipukul dengan kayu besbol sehingga lemah dan merayu padanya supaya berhenti memukul saya terus-terusan.

"Malah, saya juga pernah merasai saat seperti berada di hujung nyawa apabila suami meletakkan parang di leher kerana mahu menunjukkan yang dia boleh lakukan apa saja pada saya tanpa rasa kasihan," katanya.

Tambahnya, perkara paling menyedihkan apabila suami Rita juga membiarkan orang gaji di rumahnya memperlakukan dirinya sesuka hati mereka termasuk menyeksa dirinya.

Keluarga juga tidak mampu membantu Rita tatkala dia sakit akibat didera suami walaupun mereka tahu dia diperlakukan sedemikian rupa oleh suaminya.

Bertambah sedih apabila ahli keluarga Rita juga menyalahkan dirinya atas setiap perkara yang dilakukan suami walaupun ketika itu dia memerlukan sokongan padu untuk meneruskan kehidupan serba perit itu.

Hanya ayah Rita saja yang sudi memberikan pertolongan ketika dia dirundung kepayahan dalam mengharungi penderitaan didera suami.

Namun, dia sekali lagi diuji apabila ayahnya meninggal dunia. Saat itu dirasakan hidup bagaikan terumbang-ambing kerana hilang tempat mengadu.

"Saya berasa sangat tertekan. Namun, demi kebahagiaan anak-anak saya perlu bertahan dan tidak sesekali berputus asa untuk melawan keperitan.

"Pernah juga terasa ingin membunuh diri dan terbayang seolah-olah saya tergantung pada kipas. Namun, setelah berfikir semula saya perlu bangkit dan berjuang hingga ke hujung nyawa untuk mempertahankan diri daripada terus menjadi mangsa dera suami.

"Akhirnya, selepas lebih 20 tahun berkahwin, kami bercerai disebabkan tidak lagi mahu terus menjadi tempat suami melepaskan marahnya," katanya.

Klimaks kisah penderaan Rita bermula apabila suami dikatakan bermain kayu tiga. Sejak mengetahui mengenai perkhabaran itu, suaminya tidak lagi memberi perhatian.

Kebajikan dirinya termasuk kewangan, kesihatan hinggalah keperluan makanan sengaja disekat hinggakan Rita tidak mampu bertahan dan terpaksa melarikan diri membawa tiga anaknya.

Namun, suami tetap dapat menghidu tempat dia berlindung. Tanpa perasaan kasihan, suaminya mula membuat perancangan untuk mengambil tiga anak yang dibawa Rita tanpa pengetahuannya.

Ia bertujuan untuk menyeksa dan menghukum Rita kerana berani melarikan diri daripada suaminya walaupun dia tahu kesan buruk yang bakal diterima.

Akhirnya, dua anak yang dibawa bersama berjaya dibawa pulang untuk tinggal dengan suami. Disebabkan rasa rindu dan bimbang mengenai kebajikan anaknya, Rita memberanikan diri pulang ke rumah untuk melihat keadaan mereka.

Malang menimpa Rita apabila suaminya mengetahui kedatangannya dan sekali lagi dia diseksa emosi dan fizikal.

Rita tidak dipedulikan dan anaknya dibenarkan untuk mengherdik bahkan sanggup menendang ibu sendiri walaupun Rita tidak tahu kesalahan dilakukan.

"Mereka sewenang-wenangnya menghina dan memukul ibu yang mengandung serta melahirkan mereka. Tanpa kasihan, anak juga menggelar saya orang gaji di depan kawan mereka.

"Hati ibu mana yang tidak sakit apabila diperlakukan begitu. Ketika kecil, saya berikan perlindungan kepada anak-anak supaya tidak menjadi mangsa dera suami.

"Saya tidak tahu bagaimana semua anak kecuali yang bongsu boleh berubah sikap menjadi seperti bapa mereka yang suka memaki-hamun dan memukul saya," katanya dengan air mata yang mengalir laju di pipi.

Dia percaya, semua anaknya dipengaruhi oleh limpahan wang ringgit yang diberikan suami. Tafsiran Rita memang tepat apabila suaminya sanggup meracuni minda anak dengan wang ringgit untuk membenci ibu mereka.

Ujarnya, sepanjang berkahwin dia tidak pernah melihat suaminya bermanja, bermain malah jauh sama sekali mahu menggendong anak.

Suaminya hanya mahu pulang ke rumah dalam keadaan tenang tanpa sebarang bunyi bising tangisan anak atau suara mereka ketika bermain.

Rumah mereka ibarat tidak berpenghuni dan kosong tanpa sebarang perabot disebabkan sikap suami yang suka membaling apa saja yang ada di depan mata ketika melepaskan kemarahan.

Kini, sudah hampir lima tahun dia berpisah dengan suami selepas dijatuhkan talak satu dan hidup bebas tanpa sebarang gangguan mahupun penyeksaan.

Kehadiran anak lelaki bongsu yang tinggal bersamanya sedikit sebanyak memberi kekuatan untuk Rita meneruskan hidup selepas melalui detik memeritkan itu.

Perkara yang perlu dilakukan adalah mahu memberi kesedaran kepada wanita lain yang turut menjadi mangsa dera agar mereka perlu bertindak seawal mungkin.

"Jangan menaruh harapan sepenuhnya untuk suami berubah. Semakin lama kita menunggu, banyak perkara memburukkan diri sendiri sehingga berasa kurang keyakinan diri dan tiada harapan untuk hidup.

"Apabila kita menunggu terlalu lama untuk melihat perubahan suami, kita akan berasa menyesal dan kecewa jika tempoh itu langsung tidak memberi kesan dalam membina rumah tangga bahagia.

"Kita perlu sedar dan bertindak awal bagi mengelakkan masa depan sendiri serta keluarga musnah," katanya.

Baginya, penderaan rumah tangga bukan hanya membabitkan golongan bawahan malah golongan atasan juga mengalaminya.

Oleh Hajahfarhana Tarmudi


0 Komentar untuk "Dua dekad jadi mangsa penderaan rumahtangga"
Back To Top