Kenderaan Ditarik Bank (Kereta Kena Tarik)

Kenderaan (Kereta) Ditarik Bank

Apabila anda menghadapi masalah pembayaran iaitu selepas beberapa bulan tidak membuat bayaran, kereta anda akan ditarik oleh bank melalui penarik kereta yang dilantik oleh bank. Dari segi undang-undang, kenderaan boleh ditarik bila-bila masa selepas 2 bulan 21 hari, tidak membuat ansuran bulanan.

Antara masalah-masalah yang dihadapi oleh pemilik kenderaan dengan pekerja bank dan penarik kenderaan adalah:

Tidak membenarkan bayaran dibuat jika penarik kereta memaklumkan bahawa kenderaan dengan ansuran tertunggak telah ditemui.
Memberi surat penarikan terus kepada penarik kereta BUKAN kepada pemilik.
Tetap keluarkan arahan tarik kenderaan walaupun pemilik telah berbincang tentang tarikh bayaran.
Membiarkan penarik kenderaan menggunakan kenderaan itu sebelum diserahkan kepada bank.
Menghantar surat saman / tuntutan
Bila kenderaan ditarik dan dilelong pada harga kurang daripada hutang, pihak bank kenakan tindakan sivil terhadap bekas pemilik.

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) yakin bahawa anda semua tahu bahawa perkara-perkara yang disenaraikan di bawah menjadi kesalahan bagi si penarik kereta dan boleh dibawa ke pihak berkuasa untuk diadukan.

Undang-undang telah menetapkan bahawa kenderaan yang tertunggak bayaran ansurannya yang diletakkan di dalam kawasan rumah tidak boleh ditarik. Justeru itu, tindakan menunggu pemilik sehingga pemilik keluar rumah dan menggangu atau untuk memberikan tekanan adalah salah di sudut perundangan.

Kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kereta awam hanya boleh ditarik pada waktu bekerja sahaja.
Penarik kenderaan mestilah pekerja syarikat kewangan pinjaman dibuat dan perlu mempunyai dan menunjukkan kad kuasa yang sah kepada pemilik sewaktu mahu menarik kenderaan tersebut.

Sesebuah kenderaan itu hanya boleh ditarik apabila laporan polis telah dibuat BUKANNYA sebelum itu.
Mereka yang ditugaskan untuk menarik kenderaan bermotor hendaklah seminimum mungkin, melainkan dalam keadaan yang memerlukan kumpulan yang lebih ramai serta dilarang sama sekali menggunakan kekerasan.

Penyewa hendaklah diberi masa yang mencukupi untuk mengeluarkan barang-barang peribadi daripada kenderaan bermotor yang akan ditarik.

Pastikan anda telah menerima notis Jadual Keempat yang merupakan notis bertulis 21 hari yang menyatakan hasrat syarikat kewangan untuk menarik kenderaan bermotor 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, notis kedua akan dikeluarkan untuk memberitahu anda bahawa syarikat kewangan berhasrat untuk menarik kenderaan bermotor selepas lupus notis Jadual Keempat. Notis berkenaan akan dihantar oleh syarikat kewangan itu sendiri atau melalui pos berdaftar ke alamat terakhir yang diketahui.

PKPKL menasihatkan anda untuk memerhati dan memastikan semua syarat di atas dipatuhi dan seadainya berlaku perlanggaran peraturan di atas, anda boleh membuat aduan kepada syarikat kewangan terbabit atau kepada Persatuan Syarikat-syarikat Sewa Beli Malaysia.

Proses penarikan kereta oleh pihak bank atau pembiaya mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada sepatutnya dilaksanakan dengan telus, bertanggungjawab dan sudah tentu yang didaftarkan serta diawasi oleh pihak berwajib.

Biasanya, syarikat kewangan akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-syarikat Sewa Beli Malaysia untuk menarik balik kenderaan bermotor. Sebelum menarik balik kenderaan bermotor, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan yang membenarkan penarik mengambil kenderaan bermotor tersebut. Anda boleh meminta untuk melihat kad pengenalan dan kad kuasanya sebelum menyerahkan kenderaan bermotor anda.

Penarik haruslah menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas menarik kenderaan bermotor daripada anda. Persatuan Syarikat-syarikat Kewangan Malaysia telah mengeluarkan "Garis Panduan Mengenai perlantikan dan Perilaku Penarik" untuk dipatuhi oleh penarik dan untuk melindungi kepentingan penyewa.

Hakikatnya, penarikan kenderaan adalah jalan terakhir syarikat kewangan terhadap pengguna yang enggan membayar ansurans. Selain memberi notis amaran, syarikat kewangan wajar mengemukakan dokumen lengkap dan menghantar wakil ketika operasi menarik kereta dilakukan.

Kredit : Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL)

Tag : Kewangan
0 Komentar untuk "Kenderaan Ditarik Bank (Kereta Kena Tarik)"
Back To Top