Bebas hutang beri ketenangan

Bebas hutang beri ketenangan

Melalui saat kehabisan wang pendapatan bulanan dalam tempoh dua minggu atau mungkin lebih singkat daripada itu seakan senario biasa yang dialami hampir semua golongan bekerja khususnya orang muda pada setiap bulan.

Ada pula yang tidak sempat menjelaskan komitmen pinjaman tertentu dengan alasan gajinya sudah digunakan untuk tujuan kecemasan.

Ketika berdepan situasi ini, pernahkah kita terfikir bagaimana ia boleh berlaku sedangkan masih wujud sekelompok kecil individu yang bebas masalah terbabit biarpun jumlah pendapatan diterima tidak jauh berbeza.

Golongan `bebas masalah kewangan' ini turut menanggung komitmen yang seakan sama, malah berjaya melakukan simpanan pada setiap bulan dengan konsisten.

Mungkin segelintir daripada kita merasakan sangat remeh untuk memikirkan ke mana wang kita dibelanjakan apatah lagi apabila sikap `duit aku, suka hati aku' tertanam dalam diri menjadikan usaha untuk berubah lebih sukar.

Namun pada masa sama, kita tetap mengeluh dengan pendapatan sedia ada yang dirasakan tidak mencukupi untuk menampung hidup lebih-lebih lagi di kota besar seperti Kuala Lumpur.

Realitinya, kes yang pernah dipaparkan mengenai pelbagai masalah kewangan dihadapi masyarakat kita bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Masalah dikejar along gara-gara gagal membayar hutang, melakukan pinjaman untuk mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran mahupun berlapar demi kereta mewah adalah antara kisah benar yang pernah terjadi di negara ini.

Punca musibah ini berlaku tidak perlulah dikaji kerana ia jelas di depan mata iaitu kegagalan merancang kewangan dengan baik.

Jika wang gaji habis lebih awal dari sepatutnya dianggap perkara biasa bagi sesetengah masyarakat, ia adalah sebaliknya serta luar biasa dalam konsep pengurusan kewangan yang bijak.

Sememangnya ramai antara kita tidak memahami sepenuhnya prinsip asas pengurusan kewangan disebabkan ilmu ini tidak diajar secara khusus ketika zaman persekolahan mahupun apabila dewasa dan memasuki alam pekerjaan.

Bagaimanapun sebenarnya, penting untuk kita sentiasa berusaha menambahkan pendapatan memandangkan kos sara hidup akan terus meningkat.

Contoh termudah, RM50 pada suatu ketika dulu boleh memberikan kita pelbagai barangan dapur dan harian untuk bekalan sekeluarga selama sebulan atau lebih namun kini, ia sekadar membolehkan kita membeli sekampit beras serta beberapa jenis lauk tidak termasuk keperluan bilik air dan seumpamanya.

Untuk memastikan kita tidak tersenarai sebagai individu bermasalah kewangan, seharusnya kita jangan kalah dengan nafsu sendiri serta mengubah tabiat berbelanja.

Sikap suka bermewah dan membazir harus dijauhkan sama sekali berikutan elemen sebegini akan mendorong kita untuk berhutang yang pada akhirnya akan menimbulkan pelbagai masalah baik untuk diri sendiri mahupun orang sekeliling.

Ukur baju di badan sendiri dan jangan sampai orang kata besar pasak dari tiang.

Tabiat berbelanja juga perlu dikawal sejak awal lagi. Ibu bapa seharusnya mengambil peranan untuk menerangkan kepada anak mengenai kesan negatifnya kepada diri dan keluarga.

Sebaiknya anak kita dibawa bersama untuk menyertai perancangan perbelanjaan harian supaya mereka dapat membesar dan memahami kepentingan tabiat berbelanja dengan baik seterusnya menguasai ilmu pengurusan kewangan.

Kini, sikap endah tak endah dalam pengurusan kewangan harus dibuang sebaliknya mulakan sasaran baru dengan memikirkan subjek ini secara lebih serius. Pengurusan kewangan memerlukan kita meneliti dan mengubah cara berbelanja kepada perbelanjaan berhemah.

Kita perlu mempunyai daya tahan diri daripada godaan berbelanja yang kuat supaya wang dimiliki dibelanja hanya untuk memenuhi keperluan bukannya kehendak. Harus diingat, kehendak kita sentiasa berubah dan tidak dapat dipenuhi sepanjang masa.

Wang yang ada perlu dirancang sebelum dibelanjakan ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup. Keupayaan mengurus kewangan dengan baik dan merancang perbelanjaan bukan saja memperkukuhkan kedudukan kewangan semasa malah pada masa akan datang.

Hidup bebas hutang dan jauh dari masalah kewangan memberi ketenangan dan menjadikan hidup kita lebih bermakna.

Bersesuaian dengan diari 2013 yang akan ditutup tidak lama lagi, apa kata kita mulakan tahun 2014 dengan matlamat baru untuk mengurus kewangan secara lebih baik serta mengelak diri daripada beban hutang.

Anda mampu lakukannya!

PANDUAN RINGKAS URUS KEWANGAN

1. Buat bajet dan patuhi senarai perbelanjaan.

2. Utamakan keperluan ketika berbelanja. Jika punya wang lebih, barulah beli barangan kehendak.

3. Tanamkan disiplin yang tinggi supaya dapat berbelanja ikut kemampuan sendiri.

4. Kurangkan berhutang. Fahami keperluan hutang kereta, rumah dan kad kredit.

5. Mulakan simpanan walaupun sedikit. Ia berguna untuk waktu kecemasan dan hari tua.

~ Metro

Tag : Kewangan
0 Komentar untuk "Bebas hutang beri ketenangan"
Back To Top