Hindari sindrom `jet bloat'

Menuju ke destinasi percutian menaiki kapal terbang tidaklah semudah yang dibayangkan. Apalagi penerbangan ke destinasi itu mengambil masa yang panjang.

Kesegaran badan menjadi kunci keselesaan sepanjang berada di dalam pesawat.

Ketika terlalu lama berada di udara dengan ketinggian beribu-ribu kaki, kita sering kali mengalami sindrom 'jet lag'. Namun, berbeza dengan jet lag, ada pula sindrom lain iaitu `jet bloat'.

"Jet bloat' ini adalah keadaan tidak selesa yang dialami penumpang saat melakukan penerbangan yang lama.

Istilah `Jet bloat' ini adalah merujuk kepada jumlah gas tubuh yang meningkat ketika berada di tempat yang tinggi terutama dalam penerbangan.

Semakin tinggi kedudukan pesawat, maka gas yang dihasilkan badan semakin banyak.

Oleh yang demikian, adalah menjadi satu kepentingan anda memilih makanan dan minuman yang sesuai sebelum menaiki pesawat.

Pengambilan alkohol dan kopi adalah tidak disarankan ketika berada dia dalam penerbangan kerana kedua minuman ini boleh menyebabkan anda cepat haus atau dehidrasi.

Mengalami jet bloat ini juga boleh mengakibatkan sakit kepala dan perasaan gelisah selama berada di udara.

Beberapa makanan yang disenaraikan ini disarankan untuk dihindari sebelum melakukan perjalanan dengan pesawat bagi mencegah 'jet bloat' ini. Selamat bercuti.

* Kentang goreng

Kentang goreng adalah makanan ringan yang cepat dan mudah untuk didapati di lapangan terbang. Kerana itu, setiap kali merasa lapar sebelum melakukan penerbangan, kentang goreng adalah pilihan utama.

Menikmatinya panas-panas ketika perut lapar atau hanya sekadar dijadikan kudapan sementara menunggu waktu penerbangan sememangnya cukup mengasyikkan.

Namun, makanan bergoreng terutama kentang bukan sahabat baik kepada sistem pencernaan. Ini kerana, kentang mengandungi lemak dan nutrien yang tinggi. Justeru, ketika berada pada ketinggian yang tinggi, sistem pencernaan tubuh tidak mampu untuk mencerna lemak dan nutrien yang tinggi.

Hal ini akhirnya mengakibatkan kembung perut dan rasa gelisah sepanjang perjalanan.

* Buah Epal

Walaupun buah-buahan secara amnya sihat dijadikan sebagai pilihan makanan ringan, epal atau buah-buahan berserat lain tidak mudah untuk dicerna badan.

Selain itu, buah-buahan ini juga mengandungi gas sekali gus boleh mengakibatkan kembung perut.

Oleh yang demikian, elak memakan buah epal ketika akan menaiki pesawat bagi memastikan anda merasa selesa sepanjang masa.

* Minuman berkarbonat

Minuman berkarbonat boleh menyebabkan gastrik atau pedih ulu hati sekali gus membuatkan anda tidak selesa sepanjang penerbangan.

Menukar tin Cola dengan sebotol air sejuk atau teh herba adalah langkah yang bijak dan menyenangkan.

* Makanan pedas

Terutama bagi orang yang lebih sensitif, makanan pedas boleh menyebabkan ketidakselesaan perut dan `bladder irritation' atau kerengsaan pundi kencing.

Untuk menghormati penumpang lain di sebelah anda, ada baiknya anda mengelak makanan yang pedas. Makanan pedas juga boleh menyebabkan nafas berbau.

* Gula-gula getah

Mungkin gula-gula getah dapat membantu mengurangkan dengungan pada gegendang telinga ketika pesawat berlepas atau mendarat.

Namun, terlalu makan gula-gula getah juga boleh mengakibatkan perut kembung.

Oleh Suliati Asri




0 Komentar untuk "Hindari sindrom `jet bloat'"
Back To Top