Tarif Elektrik Turun Mulai 1 Mac Hingga 30 Jun 2015

Tarif Elektrik Turun Mulai 1 Mac Hingga 30 Jun 2015

Pengguna di Semenanjung Malaysia akan menikmati penurunan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWj) manakala purata kadar tarif bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20/kWj berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri setelah dimaklumkan kos penjimatan ICPT yang boleh dilepaskan kepada pengguna dalam bentuk tarif yang lebih rendah adalah RM726.99 juta setelah mengambil kira penurunan kos bahan api global dan penjanaan.

Beliau berkata penjimatan kos ICPT itu akan menurunkan bil elektrik bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300/kWj sebulan dan semua pengguna dalam kategori lain seperti komersial dan industri.

"Walau bagaimanapun, pengguna domestik yang menggunakan elektrik 300/kWj dan ke bawah sebulan, tidak terlibat dengan keputusan ini," katanya dalam sidang media berkaitan ICPT dan tarif elektrik.

ICPT dilaksanakan di Semenanjung Malaysia pada Januari 2014 sebagai satu mekanisme untuk membenarkan sebarang perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan dilepaskan kepada pengguna.

Ongkili berkata berikutan penjimatan ICPT itu, pengguna domestik, sebagai contoh, akan menikmati pengurangan bil elektrik dalam lingkungan RM13.50 hingga RM45 dalam bil bulanan.

Tag : Isu Semasa
0 Komentar untuk "Tarif Elektrik Turun Mulai 1 Mac Hingga 30 Jun 2015"
Back To Top