Terhantuk kepala undang kecederaan otak

Terhantuk kepala undang kecederaan otak

Memberi kesan jangka pendek mahupun panjang

Keluarga yang mempunyai anak kecil perlu mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kecederaan.

Sering kali kita berhadapan dengan kejadian di mana bayi atau anak-anak terjatuh sama ada dari katil, sofa, kerusi makan mahupun ketika mereka sedang berdiri atau duduk berseorangan.

Lebih membimbangkan ada juga situasi yang memungkinkan risiko bahaya yang lebih buruk apabila mereka terhentak di lantai atau pada barang-barang lain seperti meja dan kerusi atau terkena bucu-bucu perabot yang terdapat di rumah.

Sudah pasti akibat daripada hentakan itu akan memberikan kesan tidak baik atau membahayakan mereka sama ada untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Biarpun pada kita apabila bayi atau kanak-kanak terjatuh dari sofa atau katil tidak begitu tinggi, hakikatnya pada usia mereka ketinggian pada jarak itu boleh menyebabkan kesan yang buruk kepada mereka.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd., Dr. Zubaidi Ahmad berkata, lazimnya apabila kanak-kanak terhantuk atau terjatuh, terdapat kesan lebam, bengkak dan benjol pada bahagian kepala mereka.

Walaupun benjol kelihatan besar katanya, tidak bermakna anak tersebut mengalami gegaran atau kecederaan otak, kerana benjol adalah situasi di mana pengumpulan darah beku berlaku pada bawah lapisan kulit akibat saluran darah kapilari yang pecah.

“Jika tiada tanda-tanda kecederaan otak, maka benjol ini tidak perlu dirisaukan,” katanya.

Biarpun benjol atau lebam bukanlah satu tanda kecederaan serius kepada bayi atau kanak-kanak, ibu bapa harus melakukan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap kecederaan yang dialami, terutama posisi ketika mereka jatuh sama ada tepat mengenai bahagian kepala di depan atau di belakang.

Ini bagi memastikan bayi tidak mengalami luka serius, patah tulang, kecederaan organ dalaman serta luaran.

“Biasanya bayi yang jatuh mungkin tidak mengalami kecederaan yang serius kerana mereka mempunyai tulang yang lembut dan tidak mudah patah seperti orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar.

“Jika bayi kelihatan baik dan berkelakuan seperti biasa, berkemungkinan bayi tidak mengalami kecederaan serius, namun pemerhatian harus dilakukan dalam tempoh 24 jam.

“Sebarang kelakuan yang tidak normal terutama apabila bayi jatuh pada bahagian kepala perlu dibawa berjumpa doktor untuk diperiksa lanjut,” jelasnya.

Pun begitu, ada kalanya bayi yang baharu pandai duduk atau berjalan kerap terjatuh walaupun tidak mengalami kecederaan.

Jika kecederaan itu hanya melibatkan kulit kepala, lazimnya tidak akan mendatangkan sebarang kesan jangka panjang berbeza pula jika mengalami gegaran otak (concussion).

Jelas Dr. Zubaidi, gegaran otak adalah kecederaan pada fungsi otak bukan pada struktur anatomi otak. Oleh itu bayi yang mengalami gegaran otak tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan sinar-x atau pengimbas tomografi ( CT SCAN) tetapi perlu dilihat daripada segi tingkah laku fizikalnya.

Jelasnya, biasanya mereka akan mengalami rasa pening, tidak memberikan tumpuan pada permainan, mudah lupa, tidak dapat berjalan dengan betul dan seperti hendak jatuh apabila berjalan atau bangun.

“Pada asasnya agak sukar untuk mengesan gegaran otak pada bayi berbanding pada orang dewasa kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dan memberitahu apa yang mereka rasakan.

“Jika kita lihat bayi tidak ceria atau tidak aktif berkemungkinan besar bayi itu mengalami gegaran otak atau kecederaan otak yang lebih serius.

“Gegaran otak akan memberikan kesan pada fungsi otak bergantung pada tahap kecederaan yang dialami. Kecederaan ini memerlukan masa untuk sembuh dengan sempurna dan adakalanya memberikan kesan apabila bayi itu semakin besar,” ujarnya.

Tanda-tanda bayi perlu dibawa segera ke hospital:

Kecederaan otak

Kecederaan otak paling minimum ialah gegaran otak. Jika situasi itu berlaku iaitu bayi tidak sedarkan diri, cuba panggil atau gerakkan bayi bagi memastikan bayi pitam atau pengsan.

Jika bayi pengsan, pasti dia masih bernafas dan mempunyai degupan nadi. Jika tiada nadi dan pernafasan, lakukan bantuan pernafasan sebelum bantuan ambulan sampai.

Adakalanya bayi tidak menangis, tetapi kelihatan lemah, bingung, keliru atau tidak memandang tepat pada wajah.

Bayi akan kelihatan mengantuk atau muntah berterusan, Ini berkemungkinan tanda-tanda gegaran otak.

Pendarahan kepala

Jika terdapat pendarahan, cuba tekan di tempat yang berdarah dengan menggunakan kain yang bersih. Tekanan yang baik dapat menghentikan pendarahan.Jangan memberi tekanan terlalu kuat.

Tanda patah tulang

Tanda-tanda patah tulang ialah terdapat kecacatan pada anggota tubuh seperti tangan atau kaki.

Sebagai contoh bayi menangis dan pergelangan tangan ,lengan atau kaki beliau menjadi bengkok.

Kecederaan ini harus diperiksa, kerana bayi tidak dapat berkomunikasi dan memberitahu kita, dan mereka hanya menangis.

Bayi mungkin mengalami keretakan tengkorak apabila terdapat bengkakan lembut (pengumpulan darah beku) pada kulit kepala, terutamanya pada belakang telinga atau terdapat darah dalam putih matanya atau darah mengalir keluar dari hidung atau telinga.

Di hospital, setiap kecederaan otak perlu menjalani pemeriksaan CT scan otak dan setiap kecederaan patah perlu menjalani pemeriksaan x-ray.

Kejadian bayi atau kanak-kanak terhantuk terutama di rumah adalah perkara yang berlaku secara tidak sengaja dan sukar dielakkan ibu bapa dalam menguruskan anak-anak, apatah lagi ketika mereka dalam proses pembelajaran untuk kelangsungan hidup.

Namun menurut, Dr. Zubaidi Ahmad, kejadian seperti itu dapat diminimumkan dengan langkah-langkah pencegahan yang perlu dititikberatkan ibu bapa agar kejadian tidak menyebabkan kecederaan yang 
serius.

“Antara langkah-langkah yang boleh diambil seperti mengurangkan sudut tajam pada perabot atau dinding rumah. Bayi sering mendapat lebam akibat terhantuk pada bucu meja pada ketinggian itu, jadi cara untuk mengelakkannya dengan meletakkan pad lembut pada setiap bucu meja.

“Hujung permaidani yang bergulung juga memudahkan bayi tersadung ketika berjalan atau berlari, selain memastikan alas lantai tidak licin terutama di kawasan luar bilik mandi atau dapur,” katanya.

Bagi yang tinggal di rumah yang mempunyai tingkat berbeza, ibu bapa perlu memastikan pintu penghadang perlu dipasang pada setiap bahagian atas atau bawah tangga selain tidak meninggalkan anak sendirian ketika sedang mandi atau berada di atas katil atau sofa tanpa pengawasan.

Akhir sekali, pastikan objek kecil seperti alat permainan yang bertaburan di atas lantai kerana akan menyebabkan anak terpijak dan terjatuh.

Rawatan jika anak-anak terhantuk pula boleh dilakukan dengan mengambil pek ais dari peti ais dan tuamkan pada kesan benjol atau lebam selama lima hingga 10 minit.

“Jika tiada pek ais boleh sahaja gunakan sayur kubis atau botol air yang disimpan sejuk di dalam peti ais.

“Kemudian, jika mempunyai balutan crepe bandage, balutkan benjol pada kepala itu dan biarkan seharian bagi menyusutkan saiz benjol tersebut,” katanya.

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

Tag : Keibubapaan
0 Komentar untuk "Terhantuk kepala undang kecederaan otak"
Back To Top