Masalah kesihatan dan sosial remaja hamil

Masalah kesihatan dan sosial remaja hamil

Kajian terbaru menunjukkan kadar kehamilan dalam kalangan remaja di seluruh dunia semakin menurun.

Ini satu berita baik tetapi perlu diingat, di seluruh dunia dianggarkan lebih tujuh juta remaja perempuan di bawah umur 18 tahun masih mel ahirkan anak dan mengalami pelbagai masalah berikutan mengandung dan bersalin pada usia muda.

Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyuarakan kebimbangan terhadap perkara ini khususnya bahaya yang bakal dihadapi remaja perempuan berumur kurang daripada 14 tahun yang mewakili dua juta daripada 7.3 juta kelahiran daripada ibu muda di bawah 18 tahun di negara membangun. Kumpulan inilah yang akan berhadapan dengan masalah kesihatan dan sosial akibat melahirkan anak ketika masih muda remaja.

"Remaja yang hamil pada usia 14 tahun tidak sedar hak mereka dicabul dan masa depan juga boleh terjejas," kata Pengarah Eksekutif dana berkenaan, Dr Babatunde Osotimehin di London.

Laporan berkenaan memfokuskan pada wanita di bawah 18 tahun di seluruh dunia, punca kehamilan dan cadangan penyelesaian.

"Kehamilan remaja biasanya bukan disebabkan banyaknya pilihan, tetapi disebabkan ketiadaan pilihan," kata Osotimehin yang turut memasukkan masalah kekurangan akses terhadap pendidikan, peluang pekerjaan dan keganasan seksual dalam laporannya.

Kehamilan remaja juga mempunyai kaitan dengan masalah sosial lain seperti ketiadaan kuasa dan kemiskinan. Bahkan banyak juga kes berlakunya kehamilan yang disebabkan keganasan seksual.

Isu ini lebih ketara di negara membangun dengan 95 peratus kelahiran dari ibu muda berumur bawah 18 tahun. Bagi wanita dalam berusia 20 hingga 24 tahun, 10 peratus wanita di Timur Tengah dilaporkan bersalin sebelum berumur 18 tahun, 22 peratus di Asia Tenggara dan 28 peratus di Barat dan Afrika Tengah.

Dianggarkan 20,000 remaja perempuan bawah 18 tahun di negara membangun melahirkan anak setiap hari. Sembilan daripada 10 kelahiran ini berlaku dalam ikatan perkahwinan yang jelas menunjukkan perkahwinan remaja masih berleluasa.

Inilah penemuan daripada data yang dikumpulkan dari 54 negara melalui dua soal selidik berbeza dilakukan antara 1990 hingga 2008 dan 1997 hingga 2011. Ia menunjukkan adanya penurunan peratusan daripada 23 peratus kepada 20 peratus bagi wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 24 yang melahirkan anak sebelum mencecah umur 18 tahun.

Di sesetengah negara, penurunan peratusan ini agak banyak dan mendadak kerana berkurangnya perkahwinan bawah umur yang diatur oleh keluarga.

Bagaimanapun di Bangladesh, Chad, Mali dan Mozambique, seorang daripada 10 remaja di bawah 15 tahun sudah mempunyai anak. Laporan itu juga menegaskan manfaat menangguhkan kehamilan antaranya untuk mencapai tahap kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan lebih baik.

Sememangnya kehamilan remaja ada isu besar di semua negara tidak kira di negara kaya atau miskin. Masalah yang bakal dihadapi ibu remaja tetap sama walau di mana mereka berada. Bezanya di negara maju ibu muda ini mungkin mendapat sokongan moral yang lebih baik berbanding di negara membangun.

Bahkan kehamilan remaja ini jugalah yang menyumbang kepada kes pembuangan anak yang tidak berkesudahan. Harapnya tahun baru ini remaja kita akan lebih berhati-hati dan belajar memperkasakan diri apabila menjalin hubungan cinta. Semoga mereka sedar, mengorbankan kesucian dan kehormatan tidak boleh dijadikan bukti cinta, tetapi ia menggambarkan kelemahan dan kebodohan diri sendiri.


Tag : Isu Sosial

Related Post:

0 Komentar untuk "Masalah kesihatan dan sosial remaja hamil"
btp