Akhlak mulia cermin kesempurnaan iman

Akhlak mulia cermin kesempurnaan iman

Akhlak adalah satu pancaran daripada kemurnian akidah yang dimiliki seseorang. Akhlak baik dan mulia adalah gambaran daripada akidah benar yang jauh daripada unsur penyelewengan. Akhlak buruk pula adalah racun yang membunuh manusia, merosakkan akal fikiran serta mengaibkan.

Pada era globalisasi, kita dapat lihat banyak berlakunya gejala sosial seperti pembuangan bayi, perzinaan, memukul guru, vandalisme dan sebagainya. Gejala ini semakin menjadi-jadi dan hari ke hari semakin bertambah.

Hindari masalah sosial

Justeru, bagi menghindari masalah sosial, kita perlu mempunyai akhlak mulia dengan mematuhi dan mengikuti ajaran Islam yang sebenar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia." (Surah al-Qalam, ayat 04)

Akhlak mulia mencerminkan kesempurnaan iman. Mukmin paling sempurna imannya yang paling baik akhlaknya. Akhlak yang mulia adalah ibadah paling memberatkan timbangan amal. Tiada sesuatu yang lebih memberatkan timbangan (pada hari akhirat) berbanding akhlak.

Seterusnya Allah SWT menyuruh kita meneladani akhlak Rasulullah SAW. Firman-Nya yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Jenayah remaja meningkat

Statistik menunjukkan jenayah dilakukan remaja meningkat setiap tahun. Berdasarkan laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan, terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai tahun 2008. Statistik juga menunjukkan bayi yang dilahirkan majoritinya adalah orang Islam.

Akhlak dan ajaran Islam sangat penting dalam pendidikan awal kanak-kanak. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa dan guru perlu terus memperkasakan peranan mereka membimbing golongan muda ke arah lebih positif serta menerapkan nilai yang ada pada diri Rasulullah SAW.

Antara tujuan Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang soleh. Akhlak yang sempurna adalah contoh terbaik Rasulullah SAW dan A'isyah pernah berkata, `Akhlak Rasulullah SAW adalah seperti dalam al-Quran.'

Pemantapan iman mampu menjadi pertahanan kepada generasi muda hari ini daripada terpengaruh gejala tidak sihat. Hanya dengan mengikut ajaran Islam yang sebenarnya umat Islam dapat menjalani hidup mengikut syariat dan mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

Oleh Siti Shazlinda Shaari

Tag : Renungan
0 Komentar untuk "Akhlak mulia cermin kesempurnaan iman"
Back To Top