Urutan badan tradisional makin popular

Urutan badan tradisional makin popular

Khidmat urutan badan tradisional sudah lama menjadi amalan masyarakat tanpa mengira bangsa. Amalan itu dilihat dapat mengurangkan rasa sengal sendi dan mengurangkan sakit badan.

Justeru, tidak hairanlah jika kewujudan pusat rawatan alternatif menawarkan khidmat berkenaan semakin bercambah kerana permintaan terhadap urutan badan secara tradisional semakin meningkat.

PusatTerapiAlAnsarHealth menyediakan khidmat urutan badan sebagai alternatif untuk mengurangkan rasa sakit dan sengal pada anggota badan.

Pengurus cawangan yang juga perawat di Al Ansar Health, Mohd Radi Samsudin berkata pihaknya menyediakan khidmat mengurut secara tradisional dengan menggunakan tiga kombinasi produk.

Beliau berkata, rawatan dengan magnetik aura iaitu menggunakan minyak yang diperkaya dengan tenaga magnet, balsam dan sabun.

Urut di bahagian bermasalah

"Proses urutan bermula dengan menyapu sabun, diikuti minyak dan balsam pada anggota badan yang bermasalah," katanya yang menjalankan operasi di Shah Alam, Selangor.

Mohd Radi berkata, urutan juga bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit.

Sebagai contoh, beliau berkata, jika penyakit yang dihadapi lebih serius, pihaknya akan memulakan proses urutan dengan merendamkan kaki ke dalam air suam terlebih dahulu.

"Rendaman kaki itu adalah satu terapi yang memberi ketenangan kepada pesakit sebelum urutan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, pesakit warga emas yang menghidap kencing manis, masalah sistem saraf, kebas kaki dan sendi tulang memerlukan urutan berterusan.

"Ada juga pesakit yang masih muda dan mendapatkan khidmat urutan di sini berikutan kerja mereka yang memerlukan banyak tenaga seperti pemandu lori dan teksi," katanya.

Teruskan ubat hospital

Jelasnya lagi, walaupun pihaknya menawarkan rawatan alternatif, namun individu terbabit perlu terus mengambil ubat hospital yang disarankan doktor.

"Khidmat urutan yang menggunakan produk hanya untuk kegunaan luaran, jadi tiada sebarang masalah jika pesakit memilih kedua-dua cara iaitu rawatan hospital dan alternatif," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun cara urutan sama, namun tukang urut mempunyai kelebihan mengurut mengikut kesesuaian individu.

"Proses urutan memerlukan keserasian antara kedua-dua pihak iaitu tukang urut dan pesakit. Kami juga mempelbagaikan teknik rawatan. Antaranya, menggunakan siku, bergantung kepada saiz badan pesakit.

"Selain itu, kami mengamalkan bacaan Bismillah, selawat syifa, surah al-Fatihah dan ayat Kursi sebelum mula mengurut," katanya.

Katanya, tempoh masa urutan dilakukan adalah sekitar 15 minit hingga sejam, bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi.

"Ada pesakit yang datang dengan emosi tidak stabil seperti meracau, keadaan itu menyebabkan proses rawatan menjadi lebih lama," katanya.

~ BH

Tag : Variasi
0 Komentar untuk "Urutan badan tradisional makin popular"
Back To Top