Isu K-Pop: Kenapa sekarang baru tersedar? -Ustaz Ahmad Dusuki

Isu K-Pop: Kenapa sekarang baru tersedar

Insiden di pentas konsert sebuah kumpulan artis dari Korea Selatan nyata membuka mata masyarakat Islam yang tersedar bahawa amalan Islam di negara ini begitu longgar sehingga perkara seumpama itu boleh berlaku.

Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, tindakan perlu dikenakan ke atas gadis-gadis itu supaya menjadi pengajaran dan tidak berlaku pada masa akan datang.


“Tindakan Jawi itu sudah tepat. Kita patut sokong apa yang dilakukan oleh Jawi. Di mana kita perlu panggil dan selepas panggil itu, barulah kita dapatkan penjelasan daripada mereka.

“Bukannya sekadar dakwah sahaja tetapi menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tak buat tindakan sama pada masa akan datang. Umum tahu kesalahan yang dilakukan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslimah ,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan pihak berkuasa agama ini tidak sepatutnya terbatas setakat kes ini sahaja sebaliknya perlu dijalankan kepada semua golongan tanpa mengira pangkat.

“Tak kira siapa. Mana-mana orang yang beragama Islam buat (tindakan tidak sepatutnya) perlu diambil tindakan.

“Tak kira pangkat apa pun termasuk pelakon, pemimpin dan sesiapa saja yang lakukan perbuatan tidak berakhlak di khalayak ramai. Inilah peranan pejabat agama. Inilah yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

Mengulas soal pendapat beberapa pihak yang mengesyorkan agar pihak jabatan agama menjalankan dakwah kepada pihak yang terlibat, beliau berkata, dakwah kini tidak berkesan, hanya perlu laksana tindakan.

“Kalau orang kata tentang dakwah, dakwah dan dakwah, boleh jadi, sebelum ini kita sudah dakwah tapi tak ada kesan pun. Jadi, tindakan kena buatlah dan tindakannya perlu diambil sekarang.

“Maka dengan isu ini, menyedarkan orang bahawa kita ini (orang Islam) longgar terhadap agama. Baru nak celik mata apabila berlaku hal seperti ini,” katanya.

Tag : Renungan
0 Komentar untuk "Isu K-Pop: Kenapa sekarang baru tersedar? -Ustaz Ahmad Dusuki"
Back To Top