Pengakuan Kisah Benar: Suami berkahwin dengan adik angkat

Suami berkahwin dengan adik angkat

Sejak akhir-akhir ini banyak kes perceraian berlaku kerana kehadiran orang ketiga. Memang tidak dinafikan kehadiran orang ketiga menjadi antara punca keretakan dalam rumah tangga kebelakangan ini.

Tidak kira di pihak suami atau isteri, masalah orang ketiga semakin menjadi-jadi dan satu formula konkrit perlu dicari untuk menanganinya secara serius demi menjaga mahligai yang dibina.

Bercakap tentang orang ketiga ini, secara kebetulan saya menerima e-mel daripada seorang isteri  yang menamakan dirinya Misya (bukan nama sebenar) berusia lewat 20an.

Dalam bahagia mengharungi hidup bersuami isteri dan setelah dikurniakan sepasang zuriat, datang khabar mengatakan dirinya telah dimadukan suami.

Sedihnya lagi,” kata Misya, madunya adalah adik angkat suaminya sendiri yang selama ini dianggap seperti adik sendiri.

Berpandukan kepada e-mel dan nombor telefon yang disertakan, saya menghubungi isteri muda ini untuk bertanya khabar dan seterusnya mendengar sendiri masalah rumah tangganya yang kini bagaikan berada di hujung tanduk.

Lega hati apabila panggilan saya disambut mesra oleh Misya tetapi sebaik mula bercerita, nyata dia tidak dapat menahan perasaan kecewanya akibat suami beralih kasih.

Dalam sebak yang memilukan, Misya meluahkan isi hatinya kepada saya yang ingin dikongsinya dengan pembaca. Begini kisah Misya.

“Segala-galanya bermula apabila pada satu hari suami membawa seorang gadis yang diperkenalkan kepada saya sebagai Tini ke rumah kami.

“Kata suami, Tini adalah adik angkatnya. Saya menerima kehadiran Tini dengan senyum, maklumlah, orang datang ke rumah masakan nak dihalau pula.

“Saya mengsyaki mereka ada hubungan lebih daripada adik angkat dan abang angkat apabila suami menghantar Tini pulang dan kemudian memberitahu saya dia terpaksa kerja luar daerah selama seminggu selepas meninggalkan rumah.

“Bodohnya saya percaya bulat-bulat kepada suami yang telah mula pandai menipu. Seminggu saya menjalankan siasatan. Akhirnya seorang kenalan lama suami yang kasihankan saya membongkar rahsia suami yang telah dua bulan bernikah dengan Tini tanpa pengetahuan saya.

“Rupa-rupanya mereka hanya bersandiwara di depan saya. Hancur lebur hati saya mengenangkan betapa suami sanggup berbuat demikian. Patutlah sejak Tini hadir dalam hidup kami, suami tidak pernah memberi nafkah zahir dan batin kepada saya.

“Malah dia langsung tidak ambil kisah dengan saya dan anak-anak walaupun berkali-kali saya menelefonnya.

“Pada mulanya saya enggan percaya tetapi saya mula percaya dan yakin apabila hubungan kami semakin renggang begitu juga dengan anak-anak.

“Perbelanjaan rumah juga semakin sukar dan dia langsung tidak memberi duit belanja untuk saya dan anak-anak seperti biasa.

“Mujurlah saya mendapat pekerjaan sebagai pembantu tadbir dengan agensi kerajaan. Dengan gaji itulah saya membesarkan anak-anak yang masih kecil tanpa mengharapkan belas kasihan orang lain termasuk keluarga sendiri.

“Apa yang mengecewakan saya, ibu mentua turut bersubahat dengan suami dan merahsiakan perkahwinan anaknya itu daripada saya. Malah menatang menantu barunya itu macam puteri raja.

“Lantaran keadaan yang semakin genting saya terpaksa berjimat-cermat, bimbang akan keputusan wang.

“Suami saya ibarat kacang lupakan kulit, walaupun kami berkahwin atas suka sama suka kerana Tini dia lupakan segala-galanya. Janji-janji manisnya hanya tinggal di bibir sahaja.

“Saya juga sudah banyak kali berusaha menyelamatkan rumahtangga kami tapi ibarat bertepuk sebelah tangan, macam hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong.

“Saya dikatakan tidak sedar diri kerana asyik menelefon dia pada hal dia lupa tanggungjawabnya kepada saya dan anak-anak.

“Malah dia sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina saya apabila saya bertanya kenapa dia tidak balik berjumpa saya dan anak-anak.

“Namun kesabaran saya tercabar baru-baru ini apabila dia tergamak mengirim SMS melafazkan cerai kepada saya. Bayangkan bagaimana sedih dan terkejutnya saya.

“Disebabkan semua masalah ini, saya mula berfikir, tidak ada gunanya lagi saya hidup bersama lelaki yang tidak tahu menghargai diri saya sebagai isteri.

“Kadang-kadang saya menangis sendirian mengenangkan nasib. Sudahlah saya anak yatim piatu yang tidak pernah mendapat kasih sayang ibu yang meninggal dunia sejak saya kecil, hidup pula sentiasa di rundung malang.

“Namun, saya tidak pernah berputus asa. Jika ditakdirkan jodoh saya dengan dia hanya setakat ini, saya reda.

“Tapi saya mohon dilepaskan dengan baik. Saya bertekad akan terus hidup demi anak-anak yang mengharapkan kasih sayang dan perhatian saya. Saya akan melakukan apa saja demi mereka.

“Saya berdoa semoga Allah sentiasa memberi saya kesabaran dan rahmat untuk terus hidup. Kepada wanita di luar sana yang mana suami mereka mungkin mempunyai adik angkat awaslah.. bukan tujuan saya menakutkan sesiapa, tetapi berhati-hatilah, jangan jadi seperti saya, sakitnya tidak ada penawar,’’ kata Misya menamatkan ceritanya dengan esakan yang turut merentap naluri saya sebagai wanita dan isteri.

Kurangnya didikan agama dan maklumat tentang asas rumah tangga menjadi punca semuanya ini berlaku.

Tambahan pula dalam cabaran dunia yang semakin genting di mana akal dan jiwa manusia menjadi semakin rapuh.

Rumah tangga ibarat kapal di tengah lautan yang luas, ada kala lautnya tenang, ada kala ombak mengganas. Pun begitu semuanya terletak ditangan nakhoda yang mengendalikannya.

Dalam hubungan ini jika nakhoda kapal sudah tidak ada pertimbangan dan hilang ‘akal’ pasti kapal akan terumbang-ambing.

Demikianlah yang sedang berlaku dalam rumah tangga Misya. Bagaimanapun, orang hanya melihat dan mendengar tetapi Misya yang menanggungnya.

Oleh itu berfikirlah dengan waras sebelum sesuatu keputusan itu diambil. Pesanan saya utamakan masa depan anak-anak dalam segala keputusan.

Saya cadangkan Misya mendapatkan nasihat daripada Jabatan Agama tentang permasalahan ini terutama tentang SMS cerai yang dikirim oleh suaminya.

Perkara SMS ini tidak boleh main-main, ini soal hukum hakam perlu ditangani mengikut undang-udang syariah.

Pada masa yang sama, tabahkan hati, kuatkan semangat, mudah-mudahan anda diberi kekuatan untuk terus bangkit daripada kekecewaan dan mendapat cahaya baru untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

Ingatlah, dalam apa juga perkara, nombor satu tetap menjadi rebutan setiap insan di dunia ini. Begitu juga dalam rumah tangga. Percaya atau tidak, setiap lelaki yang berpoligami pasti akan terasa betapa hebatnya wanita nombor satu yang berkongsi hidup dan kasih sayang dalam hidup mereka.

Sebab wanita atau isteri nombor satu adalah yang terbaik, penyabar, memahami dan sentiasa sabar dan reda dengan ketentuan Ilahi dalam menguruskan perjalanan hidupnya.

Bukan maknanya yang lain tidak baik tetapi yang nombor satu ada istimewanya, ada kelebihannya.

Menutup kata, pesanan ikhlas daripada saya, kebahagiaan sememangnya telah tersedia buat mereka yang menangis, yang disakiti hatinya, juga mereka yang mencari dan mencuba. Kerana hanya mereka itulah yang tahu menghargai dan menilai betapa pentingnya insan-insan yang pernah singgah dan mengisi ruang hati di persada hidup mereka.

Sumber Utusan.

0 Komentar untuk "Pengakuan Kisah Benar: Suami berkahwin dengan adik angkat"
Back To Top