Punca Kepala Teleng Pada Bayi

Punca Kepala Teleng Pada Bayi 

Kepala teleng atau dikenali sebagai torticollis antara masalah kesihatan berlaku dalam kalangan bayi tetapi kerap diabaikan ibu bapa kerana mengganggap ia adalah kecacatan kekal lalu tidak mendapatkan rawatan sewajarnya.

Padahal, kepala teleng boleh diperbetulkan menerusi rawatan tertentu selepas pesakit menjalani pemeriksaan bagi mendapatkan punca masalah terbabit.

Ini sekali gus dapat mengelak bayi menerima kesan psikologi seperti malu kerana memikirkan dirinya cacat apabila usianya me­nginjak dewasa.

Torticollis adalah ketegangan otot di bahagian leher disebabkan pelbagai punca, mengakibatkan kedudukan kepala pesakit menjadi senget atau mereng sebelah sama ada ke arah kiri atau kanan. Walaupun kerap berlaku dalam kala­ngan bayi dan kanak-kanak, orang dewasa juga boleh mengalami masalah sama.

Perunding Pakar Bedah Neuro, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Syed Abdullah Al-Haddad berkata, torticollis dibahagikan kepada dua kumpulan ia­itu berlaku sejak dilahirkan (kongenital) dan berlaku disebabkan punca lain (acquired).

"Bagi teleng yang berlaku secara kongenital, ketegangan otot mungkin terjadi disebabkan kedudukan bayi ketika dalam kandungan. Jarang sekali bayi mengalami kepala teleng disebabkan punca lain.

"Namun demikian, kepala bayi boleh menjadi kembali normal jika ibu bapa mengesan awal masalah terbabit dan segera menjalankan pemeriksaan serta rawatan.

"Punca lain kepala teleng kepada kanak-kanak dan dewasa seperti jangkitan kuman pada leher, tekak, hidung atau telinga, ketumbuhan pada otot di leher atau kecederaan di tengkuk, bahu atau kepala akibat kemalangan menyebabkan kedudukan tulang berubah," katanya.

Menurut Dr Syed Abdul­lah, gejala yang biasa ditunjukkan pesakit torticollis adalah kedudukan kepala yang senget sebelah ke satu arah dan berasa sakit ketika cuba berpaling ke arah satu lagi.

"Bagi bayi yang belum boleh bercakap, ibu bapa perlu prihatin dengan ke­adaan fizikal anak mereka apabila perlu sentiasa memerhatikan kedudukannya ketika baring.

"Ini kerana bagi bayi yang mengalami masalah ini, kepalanya akan kurang berpusing dan hanya menghala ke satu arah. Bayi juga mengalami masalah ketika menyusu badan kerana pergerakan tengkuknya terbatas.

"Namun, segelintir ibu bapa tidak mengambil berat peranan masing-masing dan bila bayi mengalami masalah kepala teleng, mereka fikir ia tidak memerlukan rawatan, menyebabkan kecacatan kekal sehingga dewasa," katanya.

Rawatan bagi setiap punca torticollis berbeza dan bergantung kepada pemeriksaan doktor. Ini kerana kebanyakan masalah teleng boleh diperbetulkan dengan cara urutan menarik kepala perlahan-lahan (traction) atau fisioterapi pada bahagian yang mengalami ketegangan.

Bagaimanapun, jika kaedah berkenaan tidak berjaya mengatasi masalah kepala teleng, pembedahan mungkin terpaksa dijalankan.

"Oleh itu, ibu bapa di­nasihatkan segera berjumpa doktor jika mengesan kelainan kedudukan kepala pada anak mereka. Jangan sesekali melakukan rawatan sendiri tanpa arahan doktor kerana ia memburukkan lagi keadaan.

"Kepala teleng jika dibiarkan tanpa rawatan di peringkat awal mengakibatkan pesakit akan kekal sehingga dewasa dengan keadaan terbabit," katanya. ~ Metro

Related Post:

0 Komentar untuk "Punca Kepala Teleng Pada Bayi "
btp