Masalah keguguran rambut dan tip penjagaan rambut

Masalah keguguran rambut
Mengikut kajian, sebanyak 80 peratus remaja sama ada lelaki atau perempuan menghadapi masalah rambut apabila mencecah usia 14 hingga 20 tahun.

Keadaan ini disebabkan kebanyakan remaja tidak tahu cara menguruskan rambut dengan betul sebaliknya membiarkan rambut mereka mudah rosak dan mengakibatkan keguguran.

Menerusi blog milik Dr Zubaidi Ahmad, www.drzubaidi.com, rambut sebenarnya organ ringkas yang amat dihargai oleh wanita dan lelaki.

Beberapa kajian yang telah dibuat mendapati bahawa keguguran rambut yang berlebihan ada kaitannya dengan kadar tumbuhnya rambut yang panjang helaian rambut, umur malah warna rambut itu sendiri.

Faktor rambut gugur

Kajian turut membuktikan kadar keguguran rambut yang normal antara 5080 helai sehari. Setiap helaian rambut akan tumbuh dari folikel rambut (hair follicle) yang berada di kulit kepala, juga dikenali sebagai `akar rambut'.

Sebelum helaian rambut ini tumbuh semula, folikel berada dalam keadaan `rehat' (tidak tumbuh memanjang) selama 100 hari. Setelah 100 hari waktu berehat, folikel mula mengeluarkan helaian rambut.

Setiap helaian akan bertahan selama tiga hingga tujuh tahun sehingga helaian berkenaan gugur dan digantikan dengan helaian baharu. Ada kajian mengatakan helaian rambut akan bertahan selama 1,000 hari.

Tumbuh lebat

Secara purata rambut akan tumbuh sepanjang setengah inci setiap bulan. Kadar pertumbuhan paling ketara adalah antara umur 16 24 tahun. Rambut akan tumbuh lebat pada usia antara lima belas hingga tiga puluh tahun.

Apa yang menariknya, rambut akan gugur dengan sendirinya pada waktu pagi. Maka kebanyakan wanita menyedari rambutnya gugur di atas bantal.

TIP

Terdapat beberapa tip penjagaan rambut yang  boleh dilakukan.

1 Kurangkan penggunaan bahan kimia yang banyak dan kerap

Penggunaan pelbagai bahan kimia seperti pewarna rambut yang berlebihan, ubat rambut yang tidak mengikut piawaian standard dan bahan kimia yang lain. Penggunaan kerap bahan kimia tanpa dikawal boleh merosakkan struktur rambut menyebabkan rambut menjadi kasar. Gunakan `conditioner' atau bahan pelembut rambut. Penggunaan bahan itu amat penting, kerana dapat mengembalikan rambut normal dan lembut setelah pemakaian syampu.

2 Kurangkan penggunaan pengering rambut

Alat pengering rambut sememangnya menjadi pembantu paling tepat untuk menjimatkan masa jika seseorang itu perlu mengeringkan rambut dalam masa yang singkat. Tidak dinafikan alat ini sering digunakan ketika waktu pagi mungkin sebelum adik-adik ke sekolah. Namun begitu, tahukah adik-adik, bahawa penggunaan alat pengering rambut yang kerap boleh merosakkan rambut sekali gus menjadikannya kering. Seeloknya, rambut yang basah kering sendiri. Jika masa tidak mengizinkan, anda boleh gunakan alat pengering rambut tetapi dinasihatkan kurangkan penggunaan alatan itu.

3 Rawatan tradisional

Ramai yang tidak mengetahui masker rambut seperti `masker avocado' dan strawberi. Penggunaan masker rambut sebulan sekali diyakini dapat melembutkan rambut dan menyegarkan kulit kepala. Selain itu, penggunaan putih telur dapat merawat rambut kering atau rapuh. Sapu putih telur di rambut dalam keadaan rambut basah. Selepas 20 minit kemudian bilas dengan air sejuk.

4 Pengambilan air mineral dan makanan sihat

Perbanyak minum air mineral dan makan makanan yang sihat daripada buah-buahan mentah dan sayuran. Perubatan tradisional yang paling efektif untuk perawatan rambut ialah diet yang sihat.

5 Vitamin C

Vitamin C tidak hanya dikenali sebagai sahabat sejati kulit yang cantik namun berpengaruh besar terhadap kesihatan rambut. Vitamin C boleh didapati dalam buah oren, nanas, strawberi, lemon, paprika, kubis dan jambu batu. Selain sebagai penyumbang vitamin C, ia juga membantu menjaga folikel rambut, pembuluh darah dan kulit kepala agar kekal sihat.

~ Metro

0 Komentar untuk "Masalah keguguran rambut dan tip penjagaan rambut"
Back To Top