Panduan Kewangan: Hentikan tabiat kewangan yang buruk

Hentikan tabiat kewangan yang buruk

Tabiat kewangan, ada yang baik dan ada juga yang buruk. Untuk berjaya dalam perihal kewangan, kita perlu sematkan tabiat kewangan yang baik dan buang jauh-jauh tabiat kewangan yang buruk. Antara tabiat kewangan yang buruk termasuk tidak mengikuti bajet disediakan, melakukan belian barangan yang akhirnya tidak digunakan, melakukan pinjaman wang di luar kawalan dan tidak menjimatkan wang yang mencukupi.

Hari ini, apa kata kita cari penyelesaian tabiat wang buruk ini supaya mendekatkan kita kepada matlamat bebas kewangan.

1. Tidak mengikuti bajet disediakan

Ramai melihat menyediakan bajet sesuatu yang melecehkan dan sukar. Apa tidaknya, bukan sekadar leceh, proses memikirkan wang dan mengehadkan perbelanjaan bulanan mengikut bajet tentunya sesuatu yang tidak menyeronokkan.

Merancang bajet sememangnya penting kerana ia merancang segala kewangan kita. Tanpa perancangan wang, pastinya kita merancang untuk gagal kewangan.

Melakukan bajet tidak perlu dilihat sebagai suatu yang sukar sekiranya menggunakan formula mudah bajet 5-3-2 ataupun 50, 30 dan 20 peratus. Formula ini mengatakan 50 peratus daripada pendapatan bulanan adalah bajet untuk keperluan seperti bayaran rumah, bil, makan, minum, kenderaan dan seumpamanya.

Sebanyak 30 peratus pula untuk perbelanjaan pelbagai atau hiburan seperti membeli buku, majalah, beli-belah atau keluar bersama keluarga manakala 20 peratus untuk simpanan dan melangsaikan hutang kad kredit sekiranya ada. Sekiranya tiada, maka, 20 peratus untuk simpanan keseluruhannya.

Dengan menggunakan formula bajet mudah 5-3-2, bahagikan pendapatan bulanan anda mengikut kategori yang disebutkan di atas dan mulakan di situ.

2. Melakukan belian barangan yang akhirnya tidak digunakan

Pasti kita semua pernah terjebak dalam keadaan ini di mana emosi menguasai diri ingin membeli sesuatu kerana fikir kita memerlukannya, tetapi apabila sudah membeli, mungkin selepas menggunakan sekali dua, terus ia tersimpan di bawah katil, dalam almari atau bilik stor mengumpul habuk.

Peralatan senaman, gajet, aksesori, pakaian dan mainan kanak-kanak sering menjadi mangsa. Cara menangani tabiat buruk ini dengan menggunakan 3 T, iaitu Tanya, Tunggu dan Tolak. Apabila mendapati sesuatu yang ingin di beli, "tanya" pada diri sendiri berkali-kali mengenai keperluan barangan itu. Adakah ia akan sering digunakan? Adakah alternatif yang lebih murah boleh digunakan? Adakah perlu membeli sekarang? Tanya soalan yang dapat membantu keputusan belian anda.

"Tunggu" seminggu sebelum melakukan pembelian. Sering kali keputusan emosi bercampur dengan keputusan spontan iaitu anda ingin memiliki sesuatu pada masa itu juga. Sebaiknya, tunggu seminggu untuk anda beri peluang masa berfikir. Mungkin selepas seminggu, anda akan merasakan anda sebenarnya tidak memerlukan barangan terbabit.

Sekiranya tidak perlu, langkah terakhir adalah "tolak". Anda bukan saja berjaya menjimatkan wang daripada membeli barangan yang akhirnya anda tidak gunakan, tetapi anda juga menjimatkan ruang di bawah katil dan almari di rumah anda!

3. Melakukan pinjaman wang di luar kawalan

Pinjaman di luar kawalan amat mudah terjadi dengan bantuan kad kredit. Akibatnya, hutang akan bertambah dan simpanan akan berkurangan akibat dimakan faedah kad kredit yang tinggi. Barangan, perkhidmatan atau percutian yang berharga RM5,000 akhirnya menjadi RM6,000, RM7,000 atau lebih akibat faedah atas pinjaman.

Di sinilah pentingnya mempunyai bajet bulanan seperti yang disebutkan. Sekiranya tiada ruang dalam bajet 5-3-2 anda untuk membeli atau bercuti, belum tiba peluang untuk anda membeli dan bercuti. Mungkin anda perlu menyesuaikan bahagian 30 peratus bajet anda ke arah belian dan hiburan serta menjimatkannya untuk kegunaan bulan lain sekiranya ingin melakukan pembelian yang lebih mahal. Tetapi, jangan lupa, aplikasi 3T terlebih dulu apabila tiba masanya!

4. Tidak menjimatkan wang yang mencukupi

Sekiranya anda tidak mempunyai simpanan untuk menanggung diri anda dan keluarga selama tiga hingga enam bulan, anda dalam keadaan bahaya!

Dalam pelbagai buku kewangan, ia sering disebut 10 peratus daripada pendapatan mesti diketepikan untuk simpanan. Sama ada simpanan kecemasan, simpanan untuk bersara atau apa saja keadaan yang memerlukan. Jumlah 10 peratus ini tidak seharusnya disentuh dan keseluruhannya untuk disimpan.

Cara mudah untuk memastikan kita melakukan simpanan ini adalah dengan memberi arahan kepada bank untuk melakukan pemindahan wang secara automatik setiap bulan ke akaun berasingan. Hitung jumlah 10 peratus daripada pendapatan bulanan anda dan lakukan arahan terbabit.

Usah berfikir panjang untuk menyimpan, malah anda juga memastikan tabiat buruk tidak berlaku lagi. Jangan lupa, 10 peratus hanya permulaan. Sekiranya boleh, tingkatkan sehingga 20 peratus! Mudah-mudahan dengan empat cara mudah menghentikan tabiat wang buruk ini dapat memberi anda idea dalam memperbaiki tabiat kewangan anda dengan lebih baik .

Majalah Metro
Irfan Khairi

Tag : Kewangan
0 Komentar untuk "Panduan Kewangan: Hentikan tabiat kewangan yang buruk"
Back To Top