Kisah pengakuan penghidap HIV

Kisah pengakuan penghidap HIV

Mereka mahu diterima seperti insan lain. Walaupun dulu pernah melalui peristiwa hitam namun semuanya tidak harus dijadikan alasan untuk membiarkan mereka terus dipinggirkan hanya kerana kesalahan lalu. Ada pula menjadi mangsa keadaan disebabkan jangkitan daripada ayah atau ibu yang membawa virus HIV.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya. Bukan simpati yang diminta tetapi berilah mereka ruang untuk menjalani kehidupan normal. Fahami mereka, berikan dorongan dan usah disisihkan dek kerana stigma lama yang sukar diubah.

Andaikan anda berada di tempat mereka, pasti anda lebih memahami mereka. Ikuti luahan tiga penghidap HIV remaja yang mempunyai keinginan sama iaitu mahu masyarakat menerima dan tidak menghukum mereka.

Kisah 1

Orangnya ramah dan penuh berkeyakinan. Ketika kali pertama bertemu Azlan, 24, (bukan nama sebenar) kelihatan seperti lelaki normal yang lain. Tiada riak kesedihan atau kekecewaan pada wajahnya sebaliknya dia begitu teruja kerana dapat berkongsi pengalaman sebagai penghidap HIV sejak dua tahun lalu.

Menceritakan bagaimana boleh dijangkiti virus itu jelas Azlan dia sendiri tidak pasti kerana sebelum ini dia tidak pernah melakukan hubungan terlarang atau seks bebas. Cuma beberapa tahun lalu dia pernah dimasukkan ke wad dan menjalani pemindahan darah. Dia sendiri tidak pasti apakah itu puncanya. Namun semuanya bermula apabila dia yang gemar menderma darah dihubungi Pusat Darah Negara untuk datang ke sana.

"Sejak remaja saya memang suka menderma darah dan selepas kali ke-13 menderma, saya dihubungi Pusat Darah Negara meminta saya ke sana untuk pengesahan lanjut. Berdebar dan takut semuanya bermain di fikiran kerana kebiasaannya hanya individu yang menghadapi masalah saja akan dipanggil.

"Saya diminta menjalani ujian darah kali kedua kerana ada sesuatu yang meragukan. Selepas ujian dibuat hasilnya saya didapati dijangkiti virus HIV. Saya tidak percaya dan menganggap ia satu kesilapan. Namun, selepas dirujuk ke hospital hasilnya tetap sama - saya positif HIV.

Ketika itu terasa dunia menjadi gelap gelita. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Mengapa saya harus menerimanya bukan orang lain? Bagaimana masa depan, keluarga, kerjaya dan kematian yang semakin menghampiri," katanya yang mengambil cuti dua minggu untuk menenangkan fikiran.

Tanpa memberitahu sesiapa Azlan mendapatkan maklumat mengenai HIV di Internet dan dari situ dia mula memahami mengenai penyakit ini. Dia juga berkunjung ke Majlis Aids Malaysia untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan bertemu dengan ramai HIV positif sepertinya. Dari situlah dia membina keyakinan diri dan belajar menjadi lebih positif.

Walaupun sehingga kini keluarga masih tidak mengetahui mengenai status dirinya, namun Azlan akan memberitahu mereka apabila tiba masa yang sesuai. Jika tertekan dia berkongsi masalah dengan rakan serumah serta rakan HIV yang sama.

"Memang tidak ramai yang tahu saya ada HIV termasuk rakan sekerja. Saya tidak mahu mereka ada persepsi negatif terhadap saya. Lagipun saya dapat menjalani kehidupan dan bekerja sama seperti orang lain. Lebih penting virus ini tidak boleh dijangkiti dengan mudah hanya menerusi pergaulan atau perkongsian barang," katanya.

Dia yang menjalani rawatan secara konsisten di Hospital Sungai Buloh mengakui proses rawatan bagi penghidap HIV adalah sangat penting. Ini kerana HIV berkaitan dengan sistem ketahanan badan, jika lemah bermakna penyakit senang dijangkiti melaluinya. Menerusi pengambilan ubatubatan secara berkala ia mampu menguatkan sistem antibodi seterusnya meningkatkan sel CD4 iaitu sel darah putih atau limfosit iaitu antara bahagian yang penting dalam sistem kekebalan tubuh manusia.

Azlan juga mengubah gaya hidup menjadi lebih positif secara bersukan dan mengambil makanan berkhasiat. Emosi turut memainkan peranan dalam kesihatan individu HIV positif. Sekiranya sering tertekan dan bersedih, paras CD4 akan menurun. Oleh itu penghidap HIV perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang dan ceria.

Bagi Azlan penghidap HIV juga sama seperti orang lain yang boleh menjalani kehidupan normal. Mereka boleh bekerja dan berkeluarga asalkan mendapatkan rawatan dan tahu cara mengelak daripada menjangkiti pasangan dan anak. Apa yang penting adalah kemahuan untuk berubah seterusnya menjalani gaya hidup sihat.

"Jika diikutkan tiada sesiapa yang ingin melaluinya. Namun kita harus berbalik kepada ketentuan, qada dan qadar Tuhan. Mungkin inilah cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Jika dulu amalan kita kurang atau langsung tidak pernah melakukan ibadat inilah masanya kita memperbanyakkan amalan solat dan membaca al-Quran.

"Kini saya lebih positif dan langsung tidak merasakan yang saya adalah penghidap HIV. Saya bekerja seperti biasa, bertemu pelanggan, membuat acara atau majlis untuk syarikat. Apa yang penting sentiasa positif dan mendapatkan rawatan berterusan," katanya yang menasihati remaja HIV supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai serta menjalani gaya hidup sihat.

Kisah 2

Memiliki wajah comel dan `jambu' membuatkan Azmi, 20, (bukan nama sebenar) sering menjadi perhatian di kampus. Mulanya Azmi tidak menyedari yang dirinya menjadi pujaan rakan sejenis sehinggalah dia dihubungi seorang pelajar senior yang ingin mengenali dengan lebih rapat. Dari situ bermulalah semuanya.

"Mulanya saya tidak menyedari mempunyai keinginan terhadap pasangan sejenis sehingga digoda teman sekampus. Daripada berkawan akhirnya kami menjadi kekasih sehingga kerap melakukan hubungan terlarang. Atas dasar sayang saya hanya setia kepadanya seorang namun saya tidak tahu rupanya dia sering bertukar pasangan sehinggalah suatu hari saya dihubungi Pusat Darah Negara yang meminta saya datang mendapatkan pengesahan selepas menderma darah. Ketika itu saya tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku.

"Namun apabila diberitahu saya mendapat virus HIV, saya rasakan jantung terhenti berdenyut seketika. Dunia gelap gelita. Saya tidak tahu kepada siapa tempat mengadu. Penyesalan datang silih berganti namun semua sudah tidak berguna. Oleh kerana tertekan dan sedih saya sering menangis menyebabkan saya jatuh sakit. Rahsia yang saya simpan selama ini terbongkar apabila saya terlantar di hospital. Keluarga sangat terkejut dan marah. Ayah dan ibu menangis beberapa kali. Berkali-kali saya meminta maaf dengan mereka dan berjanji menjadi anak yang baik selepas ini.

"Melihat keadaan saya akhirnya ibu bapa serta adik-beradik lain mula menerima dan memberikan sokongan moral. Mereka menghantar saya menjalani rawatan dan meminta saya menyambung pengajian sehingga mendapat ijazah. Pada masa sama saya juga mempunyai teman wanita yang begitu setia dan sanggup berkahwin dengan saya walaupun mengetahui saya menghidap HIV.

"Tetapi saya tidak mampu meneruskannya kerana bimbang masa depan di kemudian hari. Walaupun pernah terbaca pasangan HIV yang bahagia berkeluarga dan mempunyai anak bebas HIV namun saya masih takut dan tidak mahu menghancurkan masa depan orang lain," ujarnya kepada penulis.

Bagi Azmi penghidap HIV tidak perlu mendedahkan status diri kepada umum asalkan mereka pandai membawa diri untuk berdepan dengan masyarakat. Lagipun virus ini tidak boleh berjangkit dengan mudah, jadi untuk apa dihebahkan seandainya ia boleh mengundang persepsi negatif orang sekeliling.

Selain menjalani rawatan di hospital Azmi banyak bergaul dengan rakan HIV yang menyertai kumpulan sokongan menerusi laman sosial Facebook.

"Menerusi Facebook dan blog kami bebas meluahkan masalah, kesedihan hati dan berkongsi apa saja mengenai HIV. Keadaan ini berbeza sekiranya kami meluahkannya kepada insan normal lain. Apabila mengetahui ramai senasib dengan saya dan ada lebih teruk ia memberi semangat untuk terus hidup secara positif.

"Kini saya menyambung pengajian seperti biasa dan berazam mendapat keputusan cemerlang. Selepas tamat pengajian, saya mahu bekerja dan membalas jasa ibu bapa yang banyak berkorban selama ini. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya mereka tiada," katanya.

Ujar Azmi masyarakat seharusnya mengubah stigma mengenai HIV dan menerima mereka seperti orang lain. Ada sesetengah penghidap menjadi mangsa dan ada disebabkan dosa hitam mereka sendiri.

"Saya meminta masyarakat jangan melihat kisah silam seseorang dan terus menghukum mereka. Ujian diberikan Allah ini adalah satu bentuk hukuman berat di dunia. Jadi terimalah kami sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat. Jika mengetahui keluarga, rakan, teman sekerja atau jiran menghidap HIV jangan dipinggirkan sebaliknya berikan sokongan supaya mereka terus berjaya dan membina kebahagiaan sama seperti orang lain," ujar Azmi.

Kisah 3

Melihat susuk tubuh dan penampilannya penulis tidak menyangka remaja ini adalah penghidap HIV sejak lahir. Ibu dan ayah Norlina, 18, (bukan nama sebenar) adalah penagih dadah dan sudah meninggal dunia 10 tahun lalu. Sejak dilahirkan Norlina dibesarkan oleh ibu angkat dan diletakkan di bawah jagaan Persatuan Pengasih Malaysia sehingga dia berusia 15 tahun.

Selepas itu dia diambil Persatuan Wahidayah Malaysia untuk menjadi sukarelawan serta ditugaskan menjaga bayi dan memantau pengambilan ubat-ubatan penghidap HIV di situ.

Ketika ditanya sejak bila memahami mengenai HIV, ujar Norlina dia baru saja mengetahuinya selepas membaca dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada doktor. Sebelum ini walaupun menerima rawatan namun dia masih samar-samar mengenai virus ini serta kesannya terhadap tubuh kerana masih kecil.

"Sekarang pemahaman saya mengenai HIV lebih jelas kerana saya sering mengikuti program anjuran Majlis Aids Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Saya tidak rasa rendah diri kerana saya langsung tidak merasakan saya sedang sakit. Lagi pun sejak lahir virus ini sudah ada dalam badan jadi tiada bezanya dulu dan kini.

"Saya juga menjalani kehidupan normal seperti remaja lain. Saya keluar bersama kawan, membeli-belah dan menonton wayang jika ada masa lapang. Namun ramai kawan tidak mengetahui saya ada HIV. Untuk apa dihebahkan kerana mereka mungkin belum mengerti mengenainya," katanya.

Bagi Norlina penghidap HIV ada masa depan dan mampu menjalani kehidupan sama seperti orang lain. Apa yang membuatkan keadaan menjadi lebih teruk adalah individu itu sendiri tidak ingin berubah disebabkan malu atau takut berhadapan orang ramai.

"Sepanjang 18 tahun bergelar penghidap HIV saya rasakan saya sama seperti orang lain. Apa yang saya lakukan adalah menganggap virus ini hanya singgah seketika di dalam badan. Saya juga tidak mahu terlalu memikirkannya. Lebih baik saya berfikiran positif serta memberi sesuatu yang lebih bermakna kepada masyarakat.

"Pada masa sekarang jumlah penghidap HIV remaja lebih ramai berbanding dewasa jadi saya berazam mahu menjadi suara remaja bagi memberikan penjelasan mengenainya. Masa depan golongan ini masih jauh dan banyak yang perlu dilakukan untuk diri dan keluarga. Seandainya mereka tertekan dan sedih ia pasti mengganggu pelajaran, kerjaya dan keluarga," katanya yang sering mengikuti bengkel anjuran Majlis Aids Malaysia bagi meningkatkan jati diri dan latihan menjadi suara belia bagi HIV remaja.


Ditanya perancangan masa depan, Norlina yang tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, berazam ingin menyambung pelajaran dan memiliki sekurangkurangnya diploma dalam bidang tertentu. Ini kerana dengan pendidikan saja mampu merubah kehidupan serta menjadi inspirasi kepada remaja lain yang senasib dengannya.

Tag : AIDS HIV
0 Komentar untuk "Kisah pengakuan penghidap HIV"
Back To Top