Bacaan dalam solat jgn dilakukan terburu-buru

Bacaan dalam solat jgn dilakukan terburu-buru

Ketika anda mengerjakan solat iaitu selesai daripada membaca al-Fatihah, bermohonlah dengan mengucapkan: "Aamin' (Ertinya; perkenankanlah ya Allah!)

Justeru, jadilah anda dengan orang yang dikatakan oleh Allah Taala sebagaimana diceritakan Nabi SAW: "Aku bagi solat itu dua bahagian, antara-Ku dan hamba-Ku. Sebahagian bagi-Ku dan sebahagian lagi bagi hamba-Ku.

"Dan hamba-Ku memperoleh apa yang dimintanya. Berkatalah hamba: ....(Maksudnya: Segala puji bagi Allah pemimpin semesta alam).

"Maka berfirman Allah Azza wa Jalla: "Telah dipuji oleh hamba-Ku dan disanjunginya Aku." Iaitu maksud dari bacaannya: "Sami'allaahu liman hamidah." (Didengar oleh Allah siapa yang memuji-Nya). (Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah)

Sekiranya tiada keuntungan bagi anda daripada solat itu, selain daripada diingati Allah terhadap anda dalam kebesaran dan keagungan-Nya, maka itu juga adalah suatu hadiah berharga.

Betapalah harapan anda, selain yang menjadi pahala dan mendapat kurniaan tak terhingga daripada-Nya!

Kemudian sewajarnya anda memahami setiap yang anda baca daripada surah al-Quran. Janganlah anda alpa daripada perintah dan larangan-Nya, janji nikmat-Nya dan janji azab-Nya, segala pengajaran-Nya, berita daripada nabi-Nya, ingatan kepada nikmat-Nya dan kebaikan-Nya.

Masing-masing itu mempunyai hak. Harapan adalah hak daripada janji nikmat. Takut adalah hak daripada janji azab. Cita-cita adalah hak daripada suruhan dan larangan, sedang menerima pengajaran adalah hak daripada pengajaran.

Syukur pula adalah hak daripada ingatan kepada nikmat dan memperoleh pengertian adalah hak berita daripada kalangan nabi.

Diriwayatkan bahawa Zararah bin Aufa, tatkala sampai pembacaannya kepada firman Allah Taala, iaitu ayat 8 daripada surah al-Mudatsir, (bermaksud; 'kerana apabila telah ditiup sangkakala'), lalu jatuh tersungkur dan meninggal dunia.

Ibrahim an-Nakha'i, apabila mendengar firman Allah yakni ayat 1, surah al-Insyiqaq (bermaksud; 'Apabila langit terbelah'), gementar tubuhnya sehingga lemahlah sendi-sendinya."

Abdullah bin Waqid berkata: "Saya melihat Ibn Umar mengerjakan solat dalam keadaan tidak sedar. Kiranya benarlah hatinya terbakar dengan janji nikmat dan janji azab Tuhannya. Sebab dia adalah hamba yang berdosa lagi hina di hadapan Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Perkasa!"

Bagaimanapun, segala pengertian tadi menurut tahap pemahaman masing-masing. Pemahaman itu pula adalah menurut kesempurnaan ilmu dan kebersihan hati. Sementara tahap itu tidak terhingga banyaknya.

Ibadat solat itu adalah kunci hati. Di dalam solat terbukalah segala kunci rahsia kalimah yang dibaca. Inilah hak bacaan, juga hak zikir dan tasbih.

Kemudian, dijaga kehebatan pada bacaan, maka bacalah dengan bacaan yang baik dan tidak terburu-buru. Sebab dengan tindakan yang demikian lebih memudahkan untuk memberikan perhatian.

Berbeza pada pembacaan itu di antara turun dan naiknya suara, mengenai ayat yang mengandungi rahmat dan azab, janji pahala dan janji seksa, pemujian, pengagungan dan penghormatan.

An-Nakha'i apabila sampai pembacaannya seperti firman Allah Taala pada ayat 91 surah al-Mukminun (bermaksud; 'Allah tidak sekali-kali mempunyai anak dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan beserta-Nya), maka beliau merendahkan suaranya, seperti orang yang malu menyebutkan sesuatu yang tidak layak.

Diriwayatkan, bahawa dikatakan kepada pembaca al-Quran: "Bacalah, tinggikanlah dan perelokkanlah pembacaan, sebagaimana anda memperelokkan pembacaan mengenai hal ehwal duniawi!" (Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan lain-lain daripada Abdullah bin Umar)

Adapun berkekalan berdiri di dalam solat, adalah pemberitahuan kepada tegaknya hati serta Allah Taala di atas sifat kehadirannya.

Sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah Taala menghadap pada orang yang bersolat, selama orang itu tidak berpaling kepada yang lain." (Riwayat Abu Daud, Nasai dan lain-lain daripada Abu Dzar). (Disusun berdasarkan kitab Ihya Ulumiddin, karangan Imam Ghazali)

Tag : Renungan
0 Komentar untuk "Bacaan dalam solat jgn dilakukan terburu-buru"
Back To Top