Punca tisu paru-paru cedera (fibrosis pulmonari)

Punca tisu paru-paru cedera

Tisu fiber antara tisu penghubung yang menghubungkan antara satu tisu ke tisu lain untuk membentuk organ. Hampir seluruh anggota badan manusia mempunyai tisu ini, kecuali sel otak.

Ini termasuk tisu paruparu yang menjadi penghubung antara satu alveoli dengan alveoli yang lain. Bagaimanapun, dalam keadaan tidak normal, tisu ini boleh terhasil dengan banyaknya dan berkumpul menyebabkan tisu 'parut' terjadi.

Ia dipanggil fibrosis. Jika berlaku di paru-paru, ia dipanggil fibrosis pulmonari.

Kes fibrosis pulmonari membabitkan hampir lima juta pesakit di seluruh dunia. Ia terjadi secara perlahan-lahan tanpa simptom awal disebabkan pelbagai faktor.

Antara sebab biasa terjadinya pembentukan 'parut' ini di paruparu ialah jangkitan kuman, penyakit auto imun di mana tisu badan diserang oleh antibodi badan pesakit sendiri, selain 'kecederaan' pada tisu paru-paru. Ada juga pesakit yang menghidap fibrosis pulmonari tidak dapat dikenal pasti punca utamanya.

'Kecederaan' pada tisu paruparu pula boleh disebabkan oleh asap rokok. Individu bekerja di kilang atau lombong arang batu yang terdedah kepada asbestos dan silikon berisiko mendapat penyakit ini.

Pendedahan kepada rawatan radioterapi yang membabitkan dada dan pengambilan beberapa ubat tertentu juga boleh menyebabkan 'kecederaan' berlaku kepada tisu paruparu, seterusnya menyebabkan 'parut' terjadi.

'Parut' yang terbentuk antara sel paruparu menyebabkan fungsi utama organ itu untuk menyerap oksigen dari udara dan mengeluarkan karbon dioksida dari badan terganggu.

Oleh itu pesakit akan mengalami simptom seperti sesak nafas. Sesak nafas ini lamakelamaan menjadi semakin teruk jika semakin banyak 'parut' terbentuk.

Selain itu, pesakit mengalami simptom keletihan dan lemah disebabkan kurangnya bekalan oksigen. Dada juga menjadi tidak selesa dan pesakit mengalami batuk berpanjangan. Simptom lain ialah seperti susut berat badan dan hilang selera makan.

Pemeriksaan klinikal di klinik biasanya gagal mengenalpasti masalah ini. Begitu juga pemeriksaan melalui sinarX, terutama jika masalah pulmonari fibrosis masih di peringkat awal.

Selain itu, pemeriksaan darah juga gagal mengenal pasti masalah ini. Untuk mengesahkan seseorang pesakit mengalami penyakit berkenaan, ujian Computed Tomografi (CT) dengan resolusi tinggi perlu dijalankan.

Jika penyakit ini dapat dikenal pasti, pengambilan sampel tisu perlu dilakukan. Ini dapat membantu mengenal pasti punca berlakunya pembentukan 'parut' itu, seterusnya sedikit sebanyak dapat membantu rawatan sesuai yang boleh dilakukan.

'Parut' yang terbentuk bersifat kekal. Ia tidak dapat dibuang dan tiada rawatan khas menghilangkannya. Rawatan biasanya lebih terarah kepada mengurangkan jumlah pembentukan tisu fiber yang berikutnya untuk mengelak pertambahan tisu yang berkumpul di dalam paruparu.

Rawatan seperti pengambilan steroid dan ubat antiradang biasanya akan diberi kepada pesakit. Rawatan sokongan oksigen penting jika kadar oksigen dalam badan menurun. Ada juga pesakit perlu melalui pembedahan besar untuk transplan atau penukaran paru-paru.


Oleh Dr Hanafiah Bashirun

0 Komentar untuk "Punca tisu paru-paru cedera (fibrosis pulmonari)"
Back To Top