Dapat rawatan segera jika syak dijangkiti denggi

Dapat rawatan segera jika syak dijangkiti denggi

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tweet terbaharunya, yang kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu, mengingatkan orang ramai sekali lagi supaya berwaspada dengan jangkitan demam denggi.

Tweet pertama perdana menteri mengenai ancaman demam denggi ialah pada 17 Feb, menunjukkan beliau memandang serius mengenai ancaman demam denggi di Malaysia yang telah meragut 62 nyawa dalam masa dua bulan tahun ini, berbanding 29 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Najib menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya disyaki diserang demam denggi.

Dalam laman Twitter @NajibRazak, beliau turut menyatakan simptom-simptom demam denggi yang perlu diberi perhatian.

Antaranya sakit kepala, demam panas, sakit di belakang mata, sakit badan, pendarahan ringan gusi, hidung atau di bawah kulit dan ruam kulit.

Sementara itu, dalam status terbaharu di laman Facebooknya, perdana menteri turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan rakan serta keluarga masing-masing mengetahui tanda dan gejala demam denggi.

"Saya tidak ingin lagi lihat sesiapa menderita atau bersedih akibat kehilangan ahli keluarga kerana denggi.

"Denggi mampu membunuh. Pastikan maklumat mengenai tanda-tanda serta gejala demam denggi diketahui oleh rakan serta keluarga anda. Sekiranya ada walau sedikit tanda-tanda seperti ini, terus dapatkan nasihat dan rawatan di klinik dan hospital terdekat atau hubungi Kementerian Kesihatan Malaysia di 03-8881 0600," katanya.

Dari Januari hingga Februari tahun ini sahaja, sebanyak 23,630 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara berbanding 16,053 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ancaman demam denggi meningkat terutama ketika negara kini melalui musim panas dan kering. - Bernama

Tag : Isu Semasa
0 Komentar untuk "Dapat rawatan segera jika syak dijangkiti denggi"
Back To Top