Pakej pelancongan Ramadan di Terengganu

Pakej pelancongan Ramadan di Terengganu

Bagi menyemarakkan kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Kerajaan Negeri Terengganu akan memperkenalkan pakej khas pelancongan Ramadan bagi menarik kedatangan pengunjung ke negeri ini.
 
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, secara dasarnya pakej pelancongan itu akan memberi penekanan khusus untuk penumpuan ibadah di sekitar Terengganu dan pada masa sama akan memperkenalkan makanan tradisi negeri ini kepada pelancong.
 
"Kita akan rangka pakej yang merangkumi majlis berbuka puasa, diikuti solat terawih, qiamullail dan bersahur dengan tokoh agamawan tertentu dan memberi pengisian yang padat dengan ilmu.
 
"Mungkin ini akan jadi daya tarikan untuk orang luar datang ke Terengganu, terutama untuk menghabiskan masa cuti hujung minggu secara santai tapi pada masa sama mereka mendapat ilmu hasil pelancongan itu," katanya.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman

Ahmad Razif berkata, Terengganu mempunyai banyak sejarah perkembangan ilmu agama yang menyaksikan lahirnya ramai cendekiawan Islam dan ia adalah produk yang boleh dibangunkan untuk pakej pelancongan semasa Ramadan.
 
"Namun, pakej secara terperincinya nanti akan diumumkan sebulan sebelum Ramadan oleh pihak pelancongan dan buat masa ini, apa yang perlu diberi tumpuan ialah mengenai pengangkutan.
 
"Biasanya dalam bulan Ramadan, syarikat penerbangan akan mengurangkan jumlah penerbangan harian mereka ke Kuala Terengganu namun kita mahu ia dikekalkan, atau mungkin juga boleh ditambah bersempena pakej pelancongan ini nanti," katanya.
 
Pakej pelancongan Ramadan yang bakal diperkenalkan buat julung kali itu juga akan menjadi perintis kepada lebih banyak program pelancongan berkonsepkan ibadah selaras dengan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu, katanya. - Bernama

Tag : Isu Semasa
0 Komentar untuk "Pakej pelancongan Ramadan di Terengganu"
Back To Top