#KitaLawan: Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya ditahan polis

#KitaLawan: Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya ditahan polis

Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya Saifullah Zulkifli telah ditahan polis dipercayai berkaitan perhimpunan #Kitalawan yang diadakan di bandaraya Kuala Lumpur petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi pesanan Whatsapp kira-kira jam 8.10 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu, pihaknya sudah pun menghubungi peguam yang dalam perjalanan ke Balai Polis Jinjang di mana Saifullah kini dilaporkan berada.

"Betul... dia ditangkap, dan kita sudah menghubungi peguam," katanya sambil memaklumkan bahawa penahanan Saifullah berlaku sejurus selepas perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui sebab penahanan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penangkapan Saifullah ada kaitan dengan perhimpunan #KitaLawan.

Peguam, Khairul Anwar dalam pada itu memaklumkan Saifullah telah ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau kini sedang dalam perjalanan menemui pegawai penyiasat IPD Dang Wangi, ASP Sabri untuk diberitahu sebab-sebab penahanan.

"Tak pasti kenapa dia sahaja ditahan, tetapi selepas ini kami akan jumpa ASP Sabri untuk dimaklumkan sebab penahanan," katanya.

Beliau juga yakin bahawa perkara ini akan diselesaikan malam ini ataupun selewat-lewatnya esok. ~ Awani

0 Komentar untuk "#KitaLawan: Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya ditahan polis"
Back To Top