Krisis sosial wajar ditangani bersama

Krisis sosial wajar ditangani bersama

Rasulullah SAW melarang setiap manusia mendekati perbuatan keji dan hina yang boleh merosakkan diri. Terdapat ayat al-Quran yang mengharamkan sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan dan kewarasan akal selain menjauhi perbuatan yang merosakkan fizikal dan spiritual manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala, mengadu nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Maidah, ayat 90)

Islam sentiasa memuliakan umatnya dan menganjurkan kehidupan yang sejahtera, maka larangan keras telah dimeterikan supaya setiap individu tidak terjebak dalam kebinasaan. Justeru, Islam menganjurkan umatnya memelihara lima prinsip yang menjadi keutamaan untuk menjamin kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

Lima prinsip itu ialah memartabatkan kesucian agama, menghargai nyawa, memelihara akal, menjaga nasab keturunan, memiliki harta dan menyucikannya.

Pelbagai isu negatif yang rumit untuk dibanteras pihak berkuasa berkaitan pemikiran atau ideologi, akidah, kepercayaan dan yang boleh menjejaskan akal serta minda melanda umat Islam di negara ini.

Dadah musuh utama

Isu dadah sudah sampai ke tahap serius dan kritikal sehingga diisytiharkan sebagai 'Musuh Nombor Satu Negara' sejak 31 tahun lalu hingga kini. Justeru, semua pihak perlu bersama membantu memerangi musuh utama negara seperti dituntut oleh agama untuk mencegah kemungkaran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Sabda Rasullullah SAW: "Kaitan antara seseorang beriman dengan yang lainnya adalah seumpama sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain." (Muttafaqun 'Alaih)

Sebagai pemimpin perlu memperhebatkan program turun padang bagi membantu membimbing, mendekati dan memberi keyakinan kepada keluarga yang menghadapi krisis sosial. Perbuatan mencerca dan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah SWT adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta boleh membebankan lagi penderitaan hidup mereka.

Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti bertanggungjawab memastikan ahli keluarga sentiasa memelihara kesucian agama dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan istiqamah melakukannya.

Menjadi tanggungjawab kita untuk memberi perhatian serius dalam usaha membanteras gejala negatif seperti pengedaran dadah, aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Aktiviti jenayah dapat dikurangkan

Semoga dengan cara itu aktiviti yang menyalahi undang-undang boleh dihalang dan indeks perlakuan jenayah dapat dikurangkan.

Sempena sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan pada 19 Februari setiap tahun, marilah bekerjasama memerangi jenayah dadah yang boleh dianggap sebagai ibu segala kemaksiatan dengan menutup segala ruang penularannya.

Ada penagih yang sanggup mati di tiang elektrik untuk mendapatkan kabel, mencuri, meragut dan merompak apa juga barangan berharga pada pandangan mereka untuk membeli dadah. Besi buruk, kasut, binatang ternakan yang boleh menjadi sumber kewangan menjadi sasaran.

Kesan lebih buruk lebih daripada itu, ahli keluarga seperti ibu, bapa dan adik beradik yang sepatutnya diberi perlindungan serta kasih sayang menjadi mangsa penganiayaan apabila permintaan untuk memperoleh wang tidak dipenuhi atau ditolak.

Dalam pada itu, ibu tunggal dan anak gadis yang berhasrat mencari pekerjaan dijadikan sasaran para pengedar dadah dengan menjadikan mereka keldai dadah di peringkat nasional serta antarabangsa.

Akal yang sihat dan waras berfikir menjadikan manusia lebih baik kedudukannya berbanding makhluk Allah SWT yang lain kerana minda sihat mampu membimbing manusia untuk mempertahankan kesucian agama dan melaksanakan segala tuntutannya.

Justeru, marilah mengambil sikap peduli untuk memelihara akal pemikiran daripada terjerumus melakukan gejala negatif. Kita juga bertanggung jawab mencegah perbuatan jenayah yang mungkin berlaku di persekitaran dengan memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

* Khutbah sumber daripada JAKIM

Tag : Renungan
0 Komentar untuk "Krisis sosial wajar ditangani bersama"
Back To Top