Isteri kedua tertekan tak dapat layanan suami

Isteri kedua tertekan tak dapat layanan suami

Saya berasal dari Cheras, berumur 23 tahun, berkahwin hampir dua tahun dan isteri kedua.

Perkahwinan kami ini diatur dan dipersetujui keluarga saya tetapi tidak diketahui mana-mana ahli keluarga suami mahupun isteri pertama.

Kami bernikah di luar negara tetapi mendaftarkan status perkahwinan kami secara sah dalam negara.

Masalahnya, suami tidak dapat berlaku adil untuk kedua-dua pihak terutamanya saya sebagai isteri kedua.

Dimaksudkan tidak adil itu termasuklah dari segi kewangan, percutian, masa dan bermalam.

Wang bulanan yang diberinya sering tidak mencukupi dan kadang-kala bergantung pada kerjanya memandangkan suami bekerja dengan bapanya sendiri.

Isteri pertamanya pula mengawal aliran keluar dan masuk wang suami menyebabkan wang bulanan untuk saya, terhad.

Semuanya kurang jika membabitkan diri saya dan suami hanya akan bermalam selama sehari, dua hari atau tidak bermalam langsung dalam sebulan.

Kami tidak pernah membuat apa-apa perjanjian sebelum berkahwin contohnya bersetuju untuk sembunyikan perkahwinan ini sampai bila-bila bahkan suami saya sendiri pernah berjanji menyelesaikan masalah ini selepas kahwin.

Setiap hari, ia membuatkan saya berasa tertekan sehingga pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali tetapi suami masih tidak pedulikan saya.

Sudah banyak kali kami berbincang tetapi suami seolah-olah melarikan diri daripada masalah ini atas alasan belum bersedia untuk memberitahu isteri dan keluarganya malah saya pula tidak dibenarkan bekerja.

Percutian keluarga bersama-sama hanya berlaku secara kebetulan sekira nya suami terpaksa bekerja di luar Kuala Lumpur sama ada di Kedah atau Pulau Pinang.

Apakah yang harus saya lakukan untuk masa depan saya yang belum tentu terjamin. Kelebihan dan keseronokan sebagai isteri kedua seperti yang diceritakan rakan-rakan tidak berlaku langsung kepada saya.

Saya hidup tertekan apatah lagi terpaksa tidur dan duduk di rumah seorang diri. Suami pula akan mematikan telefon bimbit apabila di rumahnya sehingga menyukarkan saya menghubunginya jika ada kecemasan.

Kehidupan dan nasib saya tidak terjamin kerana tiada wang simpanan, insurans dan apa-apa aset di atas nama saya.

Ini membuatkan saya risau andai kata terjadi perkara yang tidak diingini terhadapnya.

Rumah yang saya duduk kini adalah rumah sewa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditinggalkan arwah ayah dan masih berhutang pada DBKL.

Saya mohon agar permasalahan saya ini mendapat perhatian dari pihak tuan dan berikanlah nasihat yang sepatutnya.

------------------------

Masalah puan akibat tidak berfikir panjang sebelum membuat keputusan berkahwin.

Undang-undang kekeluargaan kita sudah digubal sedemikian rupa untuk memastikan segala urusan yang membabitkan soal hukum dikuat kuasa melalui Mahkamah Syariah.

Dalam kes poligami misalnya, jika ia dibuat melalui kebenaran mahkamah, perkara yang membabitkan hak isteri dan bakal isteri serta mereka di bawah tanggungan suami akan ditentukan melalui perintah mahkamah.

Justeru, mereka tidak perlu risau dan bimbang hak mereka diabaikan suami kerana semuanya termaktub di dalam perintah itu.

Ia biasanya meliputi soal pemberian nafkah, tempat tinggal, giliran dan juga pembahagian harta.

Jika berlaku pengabaian, tindakan penguat kuasa boleh diambil dengan segera berpandukan perintah itu.

Berbeza dengan kes pernikahan poligami tanpa kebenaran mahkamah sama ada di dalam atau luar negara, ia menimbulkan banyak masalah jika suami atau isteri itu tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ini kerana pernikahan sedemikian tidak merekodkan sebarang janji atau perintah pelaksanaan tanggungjawab yang mengikat suami melaksanakan.

Inilah yang berlaku kepada puan kerana tiada tindakan penguat kuasa boleh diambil terhadap suami anda kecuali puan mendapat perintah mengenai jumlah nafkah yang sepatutnya dibayar suami untuk puan atau anak-anak.

Oleh itu, saya syorkan puan membuat permohonan nafkah puan dan anak-anak serta kos sara hidup lain terhadap suami agar dia lebih bertanggung- jawab.

Oleh Datuk Zaidi Zain

0 Komentar untuk "Isteri kedua tertekan tak dapat layanan suami"
Back To Top