Isteri cakar suami hingga cedera dipenjara sehari

Isteri cakar suami hingga cedera dipenjara sehari

Akibat mencakar suami sehingga cedera dalam kejadian Februari lalu, seorang suri rumah dipenjara sehari oleh Mahkamah Majistret semalam.

Tertuduh, Lim Cheng Wan, 58, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan suaminya, Ng Cheng Poh, 58, di sebuah pejabat, di Taman Perindustrian Melaka pada jam 10.30 pagi, 15 Februari 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Lim ke pejabat Ng dan membuat kacau serta marah-marah sambil menuduh suaminya mempunyai perempuan simpanan.

Tertuduh bertindak mengeluar dan membuang dokumen perniagaan yang berada dalam kereta suaminya sebelum mencakar tangan serta menarik baju Ng sehingga meninggalkan kesan calar ketika berada di dalam kereta berkenaan.

Lim yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon supaya tidak dikenakan denda dan diringankan hukuman dengan alasan sudah tua dan mempunyai dua anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak yang mengendalikan pertuduhan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

Mohd Firdaus kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari bermula dari tarikh jatuh hukum semalam.

0 Komentar untuk "Isteri cakar suami hingga cedera dipenjara sehari"
Back To Top